PEMAIN  THT, Syarman Mat Tee (depan, tengah) membuat percubaan ke arah gawang Maybank di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Bernama
PEMAIN THT, Syarman Mat Tee (depan, tengah) membuat percubaan ke arah gawang Maybank di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala TNB selepas menewaskan Maybank 2-1 pada aksi separuh akhir kedua untuk mara dengan agregat 4-1.

Dalam aksi Piala Vivian May Soars, UniKL Ladies pula tidak berdepan masalah membenam Sabah 3-0 sekali gus ke perlawanan akhir dengan agregat 11-0.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini, THT yang diketuai pemain kebangsaan, Faizal Saari terpaksa bekerja keras sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan.

Gol pembukaan THT dijaringkan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Luqmannul Hakim Ahmad Shukran pada minit ke-3 namun pemain lawan, Alfarico Lance Liau Jr berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-24.

Jaringan padang Muhammad Sufi Ismat Md Rohulamin minit ke-39 meletakkan THT di depan sehingga ke wisel penamat.

PEMAIN Sabah (jersi merah)  mengawal gawang mereka ketika diasak pemain UniKL Ladies. FOTO Bernama
PEMAIN Sabah (jersi merah) mengawal gawang mereka ketika diasak pemain UniKL Ladies. FOTO Bernama

Bagi ketua jurulatih THT, K Rajan dia berpuas hati dengan corak permainan barisan pemainnya dengan percaturan strategi menjadi seperti dirancang.

"Kami memang tahu Maybank akan berusaha keras sebab mereka dah ketinggalan gol. Jadi saya tekankan kepada pemain untuk cari gol pertama dan ia berhasil apabila THT berjaya mendapatkan gol pendahuluan.

"Bila kami mendahului, Maybank akan terus menyerang dan kami bertahan menanti peluang untuk serangan balas. Secara keseluruhannya saya puas hati sebab tak kalah dan kami dapat mara ke perlawanan akhir," katanya.

Sementara itu, pasukan UniKL Ladies turun tanpa tekanan apabila membawa bekalan lapan gol dilihat tidak berdepan masalah menjinakkan Sabah.

Tiga gol yang disempurnakan pasukan bimbingan bekas penjaga gol kebangsaan Roslan Jamaluddin itu dihasilkan menerusi jaringan padang.

Gol pembukaan UniKL dijaringkan Hanis Nadiah Onn minit ke-18, diikuti Nur Atira Mohamad Ismail minit ke-37 dan Nuramirah Shakirah Zulkifli melengkapkan gol kemenangan UniKL ke-46.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 8:31 PM