Syed (dua kanan) dan kapten THT Faizal Saari (dua kiri) bergambar memegang Piala Sumbangsih. Hadir sama Nor Saiful (kanan) dan jurulatih THT, Roslan Jamauddin (kiri). FOTO Bernama
Syed (dua kanan) dan kapten THT Faizal Saari (dua kiri) bergambar memegang Piala Sumbangsih. Hadir sama Nor Saiful (kanan) dan jurulatih THT, Roslan Jamauddin (kiri). FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kapten pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syed Syafiq Cholan mengakui tugas berat menantinya untuk sekurang-kurangnya mengemudi pasukan merangkul satu piala dari tiga trofi yang dipertandingkan.

TNB yang akan turun beraksi pada perlawanan pertama Liga Hoki Malaysia (LHM) menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) merebut Piala Sumbangsih akan memberikan tentangan yang terbaik dan dia kini sudah bersedia sepenuhnya membantu pasukan.

Katanya, dia akan berusaha untuk membantu pasukan dan menjadikan TNB sebagai antara pencabar terkuat merebut kejuaraan LHM kali ini.

"Sasaran utama tahun ini adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala. Kali terakhir kami menang adalah pada 2019 iaitu Piala Tan Sri P Alagendra.

"Tapi untuk piala liga ini dah 10 tahun kami gagal jadi tahun ini adalah masa yang terbaik untuk kami berusaha dan menjadi pencabar dalam liga kali ini," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, dibarisi satu skuad yang seimbang dengan gandingan pemain kebangsaan dan bekas pemain beliau yakin Syed mampu menggalas tugas kapten dengan baik.

Tegasnya apa yang penting apabila turun bertemu THT nanti adalah disiplin dan keharmonian dalam pasukan yang perlu dijaga terutama di bahagian pertahanan yang perlu diberi keutamaan.

THT akan bertemu TNB yang menggantikan UniKL untuk perebutan Piala Sumbangsih esok ini dengan dua lagi trofi menjadi rebutan iaitu kejuaraan liga dan Piala TNB.

Sementara itu, bagi kapten pasukan THT Faizal Saari berkata, dia mahu melupakan episod duka sepanjang tahun lalu antaranya dijangkiti Covid-19 untuk bangun membuka musim 2022 dengan kejayaan.

Katanya, tiada sasaran khusus yang diletakkan namun sekiranya berjaya menjadi penjaring terbaik atau terbaik ia adalah bonus kerana apa yang penting adalah membantu pasukan menjulang piala kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 1:18 PM