SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO NSTP
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO NSTP
Oleh Syazwan Msar


KELANTAN berisiko dikenakan dua kali hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) jika gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji dalam masa terdekat.

Jika Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) gagal mengemukakan dokumen lengkap atau bukti kukuh membabitkan pembayaran tunggakan gaji dalam pengetahuan FAM, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan mata.

Pada masa sama, hukuman terbabit bukan saja terhenti di situ saja, malah Kelantan turut berdepan sekurang-kurangnya tujuh kes di Fifa membabitkan bekas pemain import sekali gus boleh dikenakan pemotongan mata atau larangan perpindahan pemain.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, situasi terbabit boleh melanda pasukan dari pantai timur itu sekiranya gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

Beliau berkata, Kafa mengambil langkah optimis dengan menyelesaikan secara konsisten hutang lama dan terkini membabitkan pemain tempatan.

“Namun, jika mereka gagal menyelesaikannya boleh dikenakan hukuman pemotongan mata daripada FAM dan pada masa sama turut tidak terlepas denda oleh Fifa.

“FAM melihat Kafa tidak pernah mengambil sikap lepas tangan dan komited berusaha menyelesaikan masalah terbabit secara berperingkat kepada semua pemain berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman ketika dihubungi mengakui wujud tunggakan gaji membabitkan pemain import berjumlah RM4 juta.

Beliau berkata, kes berkenaan membabitkan tujuh pemain import yang baru saja dibawa ke pengetahuan Fifa untuk tindakan lanjut.

“Kes terbabit adalah berkaitan dua bekas jurulatih, Marko Kraljevic dan Sathit Bensoh selain beberapa pemain termasuk Cristiano Santos, Bruno Lopes, Mohammed Ghaddar, Alaeddine Bouslimi dan Abou Bakr Al-Mel.

“Sekarang ini tiada arahan lagi daripada Fifa kerana mereka baru membuat laporan. Tapi ada kes Fifa sudah minta kami kemukakan alasan.

“Kita harap sempat menghabiskan (saingan) tahun ini (sebelum Fifa buat keputusan) dan berharap penyokong memenuhi stadium yang mana dapat menyumbang dana untuk menyelesaikan hutang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 6:10 AM