SKUAD The Red Warriors berdepan risiko diturunkan ke Liga M3 musim depan akibat terpalit isu pelesenan kelab.
SKUAD The Red Warriors berdepan risiko diturunkan ke Liga M3 musim depan akibat terpalit isu pelesenan kelab.
Oleh Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak pernah bersikap lepas tangan atau sengaja mahu lari daripada membayar hutang - masalah yang mengakibatkan pasukan itu sukar mendapat lesen, sekali gus berisiko diturunkan ke Liga M3 musim depan.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, pihaknya mengaku terdapat tunggakan gaji membabitkan pemain tempatan dan import, namun persatuan sedang berusaha menyelesaikan masalah terbabit.

Beliau berkata, tunggakan gaji dengan keseluruhan mencecah jutaan ringgit itu akan diselesaikan secara berperingkat seperti yang dipersetujui pemain terbabit.

“Kami sudah memenuhi tuntutan dokumen berkaitan pembayaran tunggakan gaji dan beberapa perkara lain berkaitan lesen kelab kebangsaan dan AFC 2020 bagi membolehkan kami beraksi pada musim depan.

“Cuma kami hanya akan mempertimbangkan tuntutan gaji yang sudah diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) saja.

“Mungkin ada antara gaji tertunggak yang tidak dapat diselesaikan semua dalam masa terdekat ini cuma kami sudah berjumpa dengan pemain bagi mencari jalan penyelesaian untuk membayar secara ansuran,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, tersebar khabar angin yang mengatakan bahawa Kelantan sukar mendapat lesen dan berisiko turun ke Liga M3 musim depan.

KAFA berdepan tunggakan gaji hampir RM500,000 membabitkan bekas pemain import, Morgaro Gomis yang digugurkan pada awal musim 2018.

Menerusi mesyuarat FIB Pelesenan Kelab FAM memaklumkan bahawa sembilan daripada 21 pasukan Liga Malaysia (Liga M) tidak melengkapkan lesen kelab kebangsaan dan AFC 2020 bagi membolehkan mereka beraksi pada musim depan.

Pasukan lain yang gagal melengkapkan permohonan dengan sempurna adalah PKNP, Melaka, PKNS, PDRM, Pulau Pinang, Selangor United, Kelantan, Sarawak dan UKM dengan masing-masing diberikan syarat atau ditangguhkan kelulusan sehingga hujung Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:30 AM