PASUKAN Kelantan sudah lunaskan tunggakan gaji hampir RM3 juta. FOTO Syamsi Suhaimi
PASUKAN Kelantan sudah lunaskan tunggakan gaji hampir RM3 juta. FOTO Syamsi Suhaimi
Syazwan Msar

TIGA pasukan iaitu Kelantan, PDRM dan Melaka United (MU) dijangka terlepas daripada hukuman pemotongan mata selepas berjaya menyelesaikan isu tunggakan gaji menerusi beberapa kaedah sebelum berakhir tempoh yang diberikan semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Husin Deraman mengesahkan mereka sudahpun melunaskan tunggakan gaji hampir RM3 juta secara keseluruhan seperti yang dituntut sekali gus berharap tidak dikenakan sebarang pemotongan mata.

“Ada tuntutan yang diselesaikan secara keseluruhan dan ada yang bersetuju dengan pembayaran berjadual. Tetapi apa yang boleh saya sahkan, Kafa sudah selesaikan semuanya kelmarin (Rabu).

“Penyelesaian adalah membabitkan kes yang dilaporkan ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Sudah tentu kami lega kerana berjaya selesaikan ini dan kami mengharapkan dapat membuka musim baharu dengan positif.

“Apa yang berlaku ini memberi pengajaran kepada kami dan dengan adanya Program Kawalan Ekonomi (ECP), kami beri jaminan masalah tunggakan gaji tidak akan berlaku kerana kami akan patuh terhadap ECP dengan berbelanja secara berhemah,” katanya, di sini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PDRM, Zulkefly Yahya berkata, pihaknya sudah menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji untuk beberapa pemain baru-baru ini.

“Namun, ada beberapa pemain lain akan dibayar dalam masa terdekat ini menerusi perjanjian bersama dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Kami sememangnya menumpukan aspek penyelesaian hutang termasuk melakukan penjimatan atau berbelanja secara berhemah bagi mengelak masalah sama berulang,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengesahkan pihaknya sudah menyelesaikan bayaran tunggakan gaji dan kemungkinan terlepas daripada hukuman pemotongan mata.

Sebelum ini, tiga pasukan iaitu Melaka, PDRM dan Kelantan berdepan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana sekiranya gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing pada 31 Januari iaitu semalam.

FAM memberikan tempoh masa kira-kira dua minggu bagi melangsaikan hutang berkenaan atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai terbabit.

Kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan mereka dipotong tiga mata serta-merta dan jika mereka sekali lagi tidak dapat menyelesaikan isu terbabit pada tarikh akhir kedua iaitu pada 28 Februari, enam lagi mata akan dipotong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:15 AM