FLICK dijulang pemainnya selepas tamat final. FOTO
FLICK dijulang pemainnya selepas tamat final. FOTO
AFP

KETUA jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick mengagumi kemajuan 'gila' pasukannya dalam masa sepuluh bulan selepas gergasi Jerman itu melengkapkan treble dengan menjuarai Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Bayern merangkul gelaran Eropah buat kali keenam selepas menewaskan Paris Saint-Germain 1-0.

Skuad meraikan kejayaan dengan menjulang Flick ke udara selepas mengesahkan kemenangan menerusi tandukan pada babak kedua oleh Kingsley Coman yang juga produk akademi PSG.

Di samping itu, penjaga gol Bayern, Manuel Neuer turut cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya bintang PSG, Neymar dan Kylian Mbappe.

"Saya bangga dengan pasukan. Apabila saya melihat tajuk akhbar pada November lalu, semuanya mengenai tiada siapa takutkan Bayern lagi,'' kata Flick yang mengambil alih tugas daripada Niko Kovac yang dipecat.

GAYA Flick  (tengah) menjulang trofi. FOTO AFP
GAYA Flick (tengah) menjulang trofi. FOTO AFP

"Kemajuan selepas itu memang 'gila'. Kami berhak menang, kerana babak kedua.

"Anda dapat melihatnya ketika kem latihan musim sejuk Januari lalu dan dapat menjangkakan kemajuan besar menanti mereka.''

Ia juga tugas pertama Flick dalam liga utama Jerman namun pada musim pertamanya berjaya membawa Bayern menjuarai gelaran kelapan Bundesliga, menjulang trofi Piala Jerman dan memenangi Liga Juara-Juara.

Dia menyamai pencapaian legenda jurulatih Bayern, Jupp Heynckes yang meraih treble pertama sebelum ini pada 2013.

Menjadi penolong jurulatih kepada Joachim Loew ketika Jerman menjuarai Piala Dunia 2014, Flick kini mencapai kemuncak kejayaan bola sepak domestik dan berharap penyokong Bayern berada di Lisbon.

"Agak sedih mereka tidak dapat bersama kami di sini, harap mereka dapat datang pada masa depan. Tetapi perlawanan tanpa penyokong bukanlah bola sepak seperti kita ketahui,'' akui Flick.

Kapten Bayern, Neuer salah seorang daripada empat anggota skuad 2013 yang masih kekal berpuas hati selepas aksi hebatnya membolehkan mereka menjulang trofi.

"Kegembiraan yang tak terkata - kami memang mengharapkannya dan kami berhak menang. Ia benar-benar hasil kerja keras,'' kata penjaga gol Jerman itu.

Dia yang berusia 34 tahun turut memuji aksi rakan sepasukan, Thomas Mueller, seorang lagi pemain dari skuad 2013.

"Ia memang gila, tiada rahsia cara kami bermain, kami mempunyai kualiti dan bersemangat tinggi," kata Mueller.

"Mentaliti kami mengagumkan dan kami bertuah mempunyai Manuel Neuer di gawang. Dia menunjukkan mengapa dia nombor satu.''

Malah jurulatih PSG dari Jerman, Thomas Tuchel turut memuji prestasi Neuer.

"Manuel Neuer sekali lagi sangat hebat sejak beberapa minggu lalu. Dia kembali pada tahap terbaik tetapi tidak bagus untuk kami,'' kata Tuchel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 8:28 AM