Lewis Hamilton memandu jentera Mercedes pada perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat. FOTO AFP
Lewis Hamilton memandu jentera Mercedes pada perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat. FOTO AFP
AFP

LEWIS Hamilton meraih kejuaraan dunia buat kali keenam namun bukan dengan gaya yang diharapkan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua di belakang rakan sepasukan dari Mercedes, Valtteri Bottas pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) awal pagi ini.

Pemandu berusia 34 tahun dari Britain itu berjuang memenangi perlumbaan selepas bermula dari petak kelima, tetapi gagal menyaingi pemandu dari Finland itu yang bermula dari petak utama dan menggunakan strategi dua hentian.

Selepas mendahului dua kali, Hamilton dipintas Bottas ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan dan dia bersaing dengan pelumba Red Bull, Max Verstappen untuk merangkul penamat di podium ke-150 dan ke-31 berturut-turut dengan kutipan mata.

Ia adalah gelaran juara dunia buat kali keenam buat Hamilton untuk menghampiri legenda formula satu, Michael Schumacher yang meraih tujuh gelaran.

Kejayaan pada musim 2019 itu menambah koleksi kejayaan yang diraih pada musim 2008, 2014, 2015, 2017 dan 2018.

Hamilton menjulang trofi di tempat kedua Grand Prix Amerika Syarikat. FOTO EPA
Hamilton menjulang trofi di tempat kedua Grand Prix Amerika Syarikat. FOTO EPA

“Saya sukar mempercayainya, terima kasih banyak,” kata Hamilton yang kini tidak lagi terikat dengan pencapaian pelumba Argentina, Juan-Manuel Fangio pada lima gelaran.

Tambahnya : “Ia amat menggembirakan. Jujur saya katakan perlumbaan hari ini adalah sukar, Valtteri melakukan kerja yang hebat. Sebagai atlet saya rasa sangat segar dan akan terus bekerja keras untuk baki musim ini.

“Keluarga saya berada di sini dan ini satu penghormatan untuk berada di sini dengan gelaran keenam bersama orang-orang yang hebat.

“Ketika berusia enam atau tujuh tahun ayah memberitahu saya supaya tidak berputus asa dan ia adalah moto keluarga.”

Ia adalah kemenangan keempat Bottas musim ini dan ketujuh dalam kariernya.

“Amat bagus untuk menang,” kata Bottas. “Secara peribadi matlamat saya tahun ini gagal, namun Lewis berhak akan kejayaannya. Dia memiliki musim yang baik.”

Verstappen menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di hadapan Charles Leclerc dari Ferrari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 8:47 AM