VETTEL (depan) mendahului pelumba lain di Litar Sakhir.
VETTEL (depan) mendahului pelumba lain di Litar Sakhir.
AFP

Manama: Sebastian Vettel mendahului saingan kejuaraan dunia semalam apabila menjuarai perlumbaan buat Ferrari pada Grand Prix Bahrain.

Juara empat kali berusia 29 tahun itu mendahului hampir tujuh saat berbanding juara tiga kali Lewis Hamilton dari Mercedes, yang lewat memecut untuk memburu kemenangan selepas dikenakan penalti berikutan masalah di laluan pit.

Rakan sepasukan baru Hamilton di Mercedes, Valtteri Bottas di tangga ketiga selepas bermula di petak pertama buat kali pertama, mengatasi rakan senegara Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari kedua dan pemandu Australia Daniel Ricciardo di tangga kelima.

Ia kemenangan ketiga Vettel di Bahrain dan ke-44 sepanjang kariernya, memberikan kepuasan buatnya dan mengakui kerjasama sepasukan membuktikan Ferrari yang menggunakan strategi agresif kembali sebagai pencabar gelaran.

“Ia hari yang hebat buat saya. Kereta benar-benar menakjubkan dan saya boleh mengawal perlumbaan akhirnya. Lewis memberi ancaman menjelang akhir perlumbaan dan dengan saingan sengit ini, anda tidak akan tahu,” kata Vettel yang memenangi perlumbaan pembuka tirai di Australia.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 4:51 AM