LEICESTER mengalahkan Burnley 2-1 menerusi gol Jamie Vardy (kiri) dan Youri Tielemans minggu lalu. — FOTO premierleague.com
LEICESTER mengalahkan Burnley 2-1 menerusi gol Jamie Vardy (kiri) dan Youri Tielemans minggu lalu. — FOTO premierleague.com
Reuters

LEICESTER City bermula mantap dalam kempen Liga Perdana Inggeris namun mereka tidak boleh dianggap sama dengan Liverpool dan Manchester City apabila bercakap mengenai pencabar kejuaraan, menurut pengurus Brendan Rodgers.

Leicester di tangga ketiga carta selepas sembilan perlawanan – lapan mata di belakang pendahulu Liverpool dan dua berbanding City. Dua pasukan di atas mereka meraih lebih banyak mata sejak Rodgers dilantik Mac lalu.

Foxes membuat kejutan apabila memenangi kejuaraan liga pada musim 2015-16 namun Rodgers berkata, beliau tidak mahu terlalu teruja mengenai kemungkinan mengulanginya musim ini.

“Saya fikir setiap orang sedar Liverpool dan Manchester City dua pasukan teratas,” kata Rodgers menjelang aksi menentang Southampton awal pagi Sabtu ini. “Ada kumpulan di belakang mereka.

“Kami baru bermain sembilan perlawanan, kami bermula amat bagus dan sejak kami bekerjasama Februari lalu, pemain mengumpul banyak mata dan beraksi dengan cemerlang.

“Kami baru di permulaan perjuangan dan ia musim yang amat panjang.”

Leicester berdepan Southampton yang menghuni tangga ke-17 dengan lapan mata daripada sembilan perlawanan, hanya berada di luar zon penyingkiran kerana perbezaan gol yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 1:36 PM