AKSI Vardy menjaringkan gol kesembilan Leicester di St Mary. - FOTO Reuters
AKSI Vardy menjaringkan gol kesembilan Leicester di St Mary. - FOTO Reuters
Reuters

LEICESTER City mencipta sejarah dalam Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Southampton 9-0 di St Mary untuk melonjak ke tangga kedua liga, awal pagi tadi.

Kemenangan terbesar di tempat lawan sebelum itu ialah lapan gol, rekod dimiliki tiga kelab. Ia juga menyaksikan kali pertama pasukan lawan menjaringkan sembilan gol dalam Liga Perdana menyamai catatan Manchester United di Old Trafford yang menewaskan Ipswich Town pada 1995.

Juara 2016 itu kini meraih 20 mata daripada 10 perlawanan, permulaan terbaik mereka dalam kempen liga yang menyaksikan The Foxes ketinggalan hanya lima mata di belakang pendahulu, Liverpool dan satu mata mengatasi Manchester City yang berkelebihan satu perlawanan.

Hatrik Ayoze Perez dan Jamie Vardy serta jaringan Youri Tielemans, Ben Chilwell dan James Maddison melengkapkan kekalahan terbesar Southampton di tempat sendiri dalam sejarah 133 tahun kelab itu.

"Saya sangat bangga dengan pasukan,” kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers. "Menang sembilan gol satu pencapaian mengagumkan di tempat lawan.

"Kami berkata ketika rehat... teruskan taktikal disiplin, kekalkan kepantasan dan kami perlu menghukum mereka. Kami perlu laksanakan tugas dan menjaringkan sebanyak gol dan kekal tanpa bolos."

VARDY menanduk  masuk gol ketujuh. - FOTO Reuters
VARDY menanduk masuk gol ketujuh. - FOTO Reuters

Ketiadaan Ryan Bertrand pada awal permainan angkara kad merah menyebabkan pertahanan Saints goyah dan kini terperosok di zon penyingkiran dengan hanya mengutip satu mata di tempat sendiri musim ini.

Kekalahan terbesar Southampton sebelum itu 20 tahun lalu apabila mereka tewas 1-7 kepada Liverpool dan satu lagi rekod memalukan menambah tekanan kepada pengurus, Ralph Hasenhuettl.

Petaka berganda menimpa tuan rumah bermula selepas 10 minit permainan apabila Chilwell membuka tirai pesta jaringan yang menolak bola masuk ke gawang selepas rembatan Vardy gagal ditampan kemas penjaga gol Angus Gunn.

Reviu VAR mendapati Bertrand terlebih dahulu mengasari Perez sebelum jaringan itu dilakukan dan pertahanan Southampton diarah keluar padang sekali gus membuka ruang kepada pelawat merobek kubu tuan rumah.

Pertahanan Saints, Yan Valery hanya mampu menyaksikan bola cuba dikeluarkan daripada kawasan bahaya singgah di kaki Tielemans yang meledak rembatan pada minit ke-17 dan dua minit kemudian dia membantu Perez menjaringkan gol ketiga.

Perez menambah gol kedua keduanya pada minit ke-39 menerusi rembatan melencung menarik selepas mendapat hantaran Chilwell dan Vardy menjadikan kedudukan 5-0 sejurus sebelum rehat.

Leicester terus mengganas pada babak kedua apabila Perez melengkapkan hatriknya pada minit ke-57 dan Vardy yang tidak dikawal menanduk masuk hantaran Chilwell seminit selepas itu.

Maddison menambah duka tuan rumah menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter sebelum Vardy melengkapkan hatriknya dengan menjaringkan penalti.

Kemenangan Leicester itu yang terbesar di tempat lawan dalam sejarah Liga Perdana sejak Wolverhampton Wanderers menewaskan Cardiff City 9-1 ketika era Divisyen Satu pada 1955. Sunderland membelasah Newcastle United 9-1 di tempat lawan pada 1908 manakala West Bromwich Albion menewaskan Wolves 8-0 pada 1893.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 7:48 AM