LEICESTER tekad beri kejutan kepada City. FOTO REUTERS
LEICESTER tekad beri kejutan kepada City. FOTO REUTERS
AFP

LEICESTER City mungkin tidak dapat mengulangi kejayaan epik menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris seperti empat tahun lalu, namun The Foxes sekurang-kurangnya membuat kejutan sebagai pencabar terdekat Liverpool musim ini.

Skuad kendalian Brendan Rodgers itu akan berkunjung ke Manchester City dengan kelebihan empat mata ke atas juara bertahan itu, dan perlu mengutip mata penuh bagi memastikan kekal relevan dalam perebutan kejuaraan.

Ketiadaan Liverpool dalam saingan liga minggu ini yang beraksi di Piala Dunia Kelab, memberikan peluang buat Leicester untuk merapatkan jurang di antara mereka kepada tujuh mata.

Kemenangan dua perlawanan terdekat ini akan mengurangkan jurang kepada empat mata memandangkan juara Eropah itu akan berkunjung ke Stadium King Power sebaik pulang dari Qatar pada 26 Disember.

Namun misi memburu kemenangan ke atas City yang menang lima daripada enam trofi domestik terakhir di England dan Liverpool yang baru tewas sekali dalam 56 perlawnaan liga adalah tugas yang berat.

“Semua orang mahukan trofi. Kami perlu berjuang, kemenangan tidak hadir begitu saja,” kata Rodgers.

“Kami perlu terus berjuang dan bekerja keras dalam setiap perlawanan, jika kami berjaya melakukannya ia pasti hebat, tapi selagi kami terus menunjukkan peningkatan, itu juga hebat.”

Leicester hampir membantutkan kemaraan City pada kunjungan terakhir mereka ke Etihad apabila skuad kendalian Pep Guardiola diselamatkan oleh rembatan Vincet Kompany untuk kemenangan 1-0 pada perlawanan kedua terakhir musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 11:41 AM