AKSI Jimenez menjaringkan gol ketiga menerusi  merembat kencang  dari luar kotak penalti. - FOTO Agensi
AKSI Jimenez menjaringkan gol ketiga menerusi merembat kencang dari luar kotak penalti. - FOTO Agensi
Agensi

WOLVES layak ke pusingan ketiga kelayakan Liga Europa selepas menewaskan Crusaders 4-1 di Belfast awal pagi tadi dan mara dengan agregat 6-1.

Gol sendiri Ryan Bennett menyalakan harapan kelab Ireland itu namun Raul Jimenez pantas menyamakan kedudukan.

Bennett menebus kesilapan menerusi tandukan kencang untuk kedudukan 2-1 dan Jimenez menambah derita skuad tuan rumah dengan gol ketiga hasil rembatan menarik dari luar kotak penalti.

Jaringan sendiri Jordan Forsythe pada babak kedua melengkapkan kemenangan bergaya Wolves dan akan menentang kelab Armenia, Pyunik minggu hadapan.

Dua jaringan Diogo Jota dan Ruben Vinagre di Molineux meletakkan kelab Liga Perdana itu selesa berdepan lawan di hadapan 3,000 penonton di Seaview namun terpaksa bekerja keras dan hampir dikejutkan tuan rumah sebelum bangkit mengatasi juara Piala Ireland itu.

Bagaimanapun, Crusaders tetap positif dengan kekalahan itu dan bekalan terbaik mereka berdepan Carrick Rangers dalam aksi pembukaan Perdana pada 10 Ogos ini.

Pengurus Crusaders, Stephen Baxter berkata: "Beraksi menentang skuad berkualiti seperti Wolves dalam dua peringkat dan tewas 6-1 banyak boleh diperkatakan. Tahniah kepada pemain. Saya bangga dengan cara mereka menangani kedua-dua aksi.”

Pengendali Wolves, Nuno Espirito Santo pula berkata: "Kami tahu kami menentang lawan yang kental. Mujur pemain saya tidak tertekan. Kami terpaksa bertindak pantas selepas jaringan sendiri itu dan terus menguasai perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 7:28 AM