AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal seawal pusingan pertama di Istora Senayan, hari ini. — FOTO Syarafiq Abd Samad
AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal seawal pusingan pertama di Istora Senayan, hari ini. — FOTO Syarafiq Abd Samad
BERNAMA

PERMULAAN kurang baik buat beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila terkandas seawal pusingan pertama pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, hari ini.

Gandingan Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan pilihan ketiga, yang juga ranking ketiga dunia, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dari China selepas bertarung dalam perlawanan yang berlarutan ke set penentuan sebelum tewas 21-19, 15-21, 9-21.

“Bagi perlawanan hari ini, tak banyak yang boleh diperkatakan. Masih ada banyak lagi kejohanan yang akan datang. Apa pun, kami beraksi dalam keadaan baik hari ini,” kata Aaron ketika dihubungi.

Ia kejohanan pertama disertai naib juara Seluruh England 2019 itu serta skuad badminton negara selepas berehat panjang daripada sebarang kejohanan kompetitif.

VIVIAN (kanan) dan Cheng Wen mara ke pusingan kedua. — FOTO Syarafiq Abd Samad
VIVIAN (kanan) dan Cheng Wen mara ke pusingan kedua. — FOTO Syarafiq Abd Samad

Beregu negara akan meneruskan pemburuan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020, pada Terbuka Jepun di Tokyo (23 hingga 28 Julai) dan Terbuka Thailand di Bangkok dari 30 Julai hingga 4 Ogos.

Sementara itu, beregu wanita Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing pada pusingan pertama.

Vivian-Cheng Wen dipaksa bekerja keras sebelum mengetepikan Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki 22-20, 20-22, 22-20 untuk mara ke pusingan kedua berdepan Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan.

Mei Kuan-Meng Yean, yang kini menduduki ranking ke-14, tidak mempunyai masalah untuk mengalahkan Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto dari Indonesia 21-16, 21-16.

KIAN Meng (kanan) dan Pei Jing singkirkan beregu China. — FOTO Aswadi Alias
KIAN Meng (kanan) dan Pei Jing singkirkan beregu China. — FOTO Aswadi Alias

Bagaimanapun, mereka berdepan laluan berliku apabila menentang pasangan ketiga dunia dari Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takashi pada pusingan kedua.

Turut mara, beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang melepasi halangan pertama menewaskan Lu Kai-Chen Lu dari China 23-21, 21-13 untuk menempah pertemuan dengan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong pada pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:55 PM