AKSI Mei Kuan dan  Meng Yean ketika menentang  beregu India.  - FOTO AFP
AKSI Mei Kuan dan Meng Yean ketika menentang beregu India. - FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran

BEREGU wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean meletakkan Malaysia semakin hampir mara ke suku akhir Piala Sudirman selepas menyumbang mata kemenangan ketika menewaskan India 3-2 pada perlawanan terakhir Kumpulan 1D di Nanning, China hari ini.

Mei Kuan-Meng Yean yang menduduki ranking ke-13 dunia, nyata dapat mengatasi tekanan tinggi ketika kedudukan terikat 2-2 apabila tenang menewaskan gandingan India, Ashwini Ponnappa-N Sikki Reddy 21-11, 21-19.

Malaysia yang tewas 0-5 kepada tuan rumah pada aksi pembukaan Ahad lalu, kini perlu menunggu perlawanan membabitkan India dan China esok sebelum dapat memastikan sama ada layak beraksi di suku akhir atau sebaliknya.

Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie gagal menepati ramalan untuk menghadiahkan mata pertama apabila tewas 21-16, 17-21, 22-24 di tangan gandingan Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa.

ZII Jia mengembalikan bulu tangkis ketika menentang  Sameer Verma. - FOTO AFP
ZII Jia mengembalikan bulu tangkis ketika menentang Sameer Verma. - FOTO AFP

Namun perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia muncul penyelamat apabila meraih kemenangan ke atas pemain di ranking ke-13 dunia, Sameer Verma 21-13, 21-15 dalam tempoh 48 minit.

Malaysia sekali lagi ketinggalan selepas perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tewas 12-21, 8-21 kepada pemain ranking kelima dunia, P V Sindhu.

Namun skuad negara kembali menyamakan kedudukan selepas gandingan Aaron Chia-Teo Ee Yi menewaskan Manu Attri-B Sumeeth Reddy 22-20, 21-19 dalam tempoh 37 minit sebelum Mei Kuan-Meng Yean mengesahkan kemenangan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 6:38 PM