Men Yean-Cheng Wen pamer aksi cemerlang. FOTO Badminton Photo
Men Yean-Cheng Wen pamer aksi cemerlang. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dua pasangan beregu wanita badminton negara dipaksa bermandi peluh pada aksi pembukaan Terbuka Indonesia sebelum menundukkan lawan masing-masing sekali gus menempah tiket ke pusingan kedua kejohanan itu.

Kejohanan yang berlangsung di Bali itu menyaksikan Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen bertarung sengit sebelum mencipta kemenangan mengatasi pasangan Denmark, Alexandra Boje-Mette Poulsen 21-12,19-21,26-24.

Walaupun Meng Yean-Cheng Wen berjaya meraih kemenangan pada set pertama, lawannya itu bangkit pada set kedua sekali gus berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada perlawanan set penentuan, wakil negara itu menerima tentangan cukup sengit namun Meng Yean-Cheng Wen lebih bernasib baik untuk layak ke pusingan seterusnya dengan kemenangan 26-24.

Sementara itu, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut mara selepas menewaskan wakil tuan rumah, Melani Mamahit-Tryola Nadia 15-21 21-8 21-10.

Skrip sama turut dilalui pasangan terbabit apabila terpaksa berhempas pulas hingga ke set penentuan sebelum berjaya mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Aksi pusingan kedua menyaksikan pasangan Meng Yean-Cheng Wen bakal bertemu wakil dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva manakala Vivian- Chiew Sien pula berhadapan beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul- Rawinda Prajongjai.

Satu lagi aksi membabitkan pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren menyaksikan dia gagal melangkah ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Jonatan Christie 14-21,15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 7:05 PM