EDINSON CAVANI
EDINSON CAVANI
Agensi

SAINT PETERSBURG: Penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani dikeluarkan semasa menentang Portugal kerana kecederaan hamstring dan kelihatan tidak akan cergas untuk diturunkan berdepan Les Bleus.

Menurut pemain Perancis, Adil Rami, Cavani perlu ‘mengatasi sains’ jika mahu tampil untuk Uruguay dalam aksi separuh akhir menentang Perancis, malam esok.

Selepas meledak dua gol ketika menewaskan Portugal 2-1 di pusingan kedua, Cavani terpaksa dikeluarkan pada babak kedua dengan Uruguay mengesahkan penyerang berkenaan mengalami kecederaan hamstring.

Cavani tersisih sesi latihan semalam serta tidak akan berada dalam senarai menentang Perancis di Nizhny Novgorod dan pertahanan Marseille, Rami percaya skuad kendalian Didier Deschamps perlu berwaspada walaupun tidak berdepan pemain berusia 31 tahun itu.

“Malangnya kehilangan seorang pemain akan membuka peluang kepada pemain lain,” katanya.

“Kita bercakap mengenai salah seorang penyerang terbaik dunia, Edinson Cavani dan berada pada prestasi baik pada kejohanan ini, jadi saya fikir ia bukan sesuatu yang buruk kepada kami apabila dia mengalami kecederaan.

“Saya pernah mengalami kecederaan yang sama dan ia mengambil masa. Saya cuba menafikan sains perubatan dan ia bukan mudah. Jika dia mahu tampil menentang kami, dia perlu ‘mengatasi sains’. Jadi hentikan usaha membuatkan kami percaya dia akan turun menentang kami.”

Perancis dan Uruguay akan beraksi dalam suku akhir pertama malam esok dan menanti pemenang antara Brazil atau Belgium di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 11:40 AM