LAZARETH LM847.
LAZARETH LM847.
Oleh Erywan Norshal


Motosikal binaan khas, Lazareth LM847 bukanlah model pertama dihasilkan Ludovic Lazareth yang berasal dari Perancis.

Sebelum ini, syarikat Lazareth Auto-Moto sudah mencipta beberapa model seperti Wazuma ‘quad bike’ dan Wazuma GT roadster.

Kali ini model ciptaannya adalah Lazareth LM847 iaitu motosikal empat tayar yang diperkenalkan di Pameran Motor Geneva tampak ekstrem selepas menggunakan enjin Maserati.

Motosikal ‘raksasa’ itu menggunakan enjin V8 berkapasiti 4.7 liter berada di tengah-tengahnya yang tampak besar sekali gus menjadi watak utama dalam pembikinan jentera berkenaan.

Rangkaian kuasa itu mampu menyalurkan 470hp pada 7,000rpm, manakala 620Nm pada 4,750rpm bagi kuasa torknya.

Ternyata hasil rekaan Lazareth memberi impak besar dalam jentera binaan khas kerana ciptaannya dianggap luar biasa.

Setiap rim dan tayar­nya dilengkapi pangsi ayun (swingarm) serta mempunyai suspensi, selain kuasa hentian dikuasai brek jenama Brembo.

Jentera seberat 400 kilogram itu menggunakan kotak gear gandingan hidraulik satu kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda belakang melalui pemacu rantaian kembar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 6:40 AM