Mazizul Dani


SANGGUP berbelanja besar untuk membeli sepersalinan pakaian baru supaya kelihatan segak menjelang Aidilfitri nanti.

Itu yang dilakukan jurutera, Mohd Hanif Abdul Salim, 35, yang membeli persalinan itu daripada butik pakaian, Maroz Tailoring.

"Istimewa pakaian itu ialah pakej kombo yang ditawarkan. Lengkap 'head-to-toe' meliputi songkok, baju Melayu, butang baju Melayu, sampin dan capal.

"Pakaian yang disediakan di sini juga bermutu tinggi seperti jenis kainnya dan capal, memang memberi satu kepuasan pada diri saya," katanya ketika ditemui semasa Jualan Cuci Gudang Maroz di Keramat AU3, semalam.

Bapa dua anak itu berkata, dia tidak sedikitpun menganggap pembelian itu satu pembaziran sejak menjadi pelanggan Maroz sejak 10 tahun lalu.

"Sebab saya selalu pakai baju Melayu dan setiap tahun saya memang meraikan Hari Raya dengan membeli baju Melayu baru.

"Saya selalu pakai dan bukan pakai sekali saja semasa raya. Saya pakai sepanjang tahun kalau ada acara seperti majlis perkahwinan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maroz Tailoring Sdn Bhd, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, sempena ulang tahun ke-30 Maroz, beliau menawarkan harga murah untuk 50 jenis barang.

"Tahun ini kita menawarkan Jualan Cuci Gudang. Maksudnya, harganya sangat murah dan pakaian yang kita sediakan dari pakaian kanak-kanak lelaki, perempuan bermula RM20 sepasang dan dewasa bermula RM60 sepasang.

"Kita beri peluang kepada semua pelanggan untuk memiliki pakaian hari raya yang menarik dan murah serta berkualiti sehingga malam raya nanti," katanya yang mensasarkan RM500,000 nilai jualan tahun ini.

Beliau yang mula mengusahakan perniagaan itu di Wisma Yakin berkata, Maroz masih membuka tempahan baju raya lelaki dan wanita sehingga 11 Jun ini dan dijangka boleh disiapkan dua hari sebelum Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 8:01 PM
Maideen membelek baju Melayu yang dijual bersama seorang pelanggan di Maroz Keramat AU3. FOTO HM Digital
Maideen membelek baju Melayu yang dijual bersama seorang pelanggan di Maroz Keramat AU3. FOTO HM Digital