EAIN Yow
EAIN Yow
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN skuasy perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow bertekad akan memanfaatkan peluang berlatih di Bristol, England untuk memantapkan permainannya menjelang Terbuka British.

Menurutnya, ia satu pengalaman berharga apabila dapat berlatih dalam tempoh dua minggu sebelum kejohanan berkenaan bermula dan paling penting bersama dengan pemain kelompok ranking 10 terbaik dunia.

“Saya memang memerlukan pengalaman bermain dengan pemain yang berada di kelompok 10 terbaik dunia seperti mana saya bertemu Saurav Ghosal di separuh akhir Kejohanan Individu Asia minggu lalu,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

Kelmarin, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengumumkan Eain Yow akan berlatih bersama jurulatih berpengalaman, Hadrian Stiff di Bristol.

Lebih menarik dia juga berpeluang untuk berlatih bersama beberapa pemain ternama dunia seperti Joelle King dan Marwan El Shorbagy serta Mohamed El Shorbagy dari Mesir.

“Adik-beradik El Shorbagy pun berlatih di sana dan saya harap mampu untuk meraih pengalaman berguna,” katanya.

Berdasarkan undian Eain Yow akan berdepan wakil tuan rumah, Tom Richards di pusingan pertama.

“Saya berdepan kesukaran ketika menentang 10 pemain terbaik dunia, namun saya juga mahu mengekalkan prestasi tidak pernah tumpas kepada pemain yang berada ranking di bawah saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 8:20 PM