Ng Eain Yow
Ng Eain Yow
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas dibatalkan pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia kembali dianjurkan bermula 23 sehingga 27 November ini di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Kejohanan berstatus kategori gangsa itu bakal menawarkan hadiah lumayan bernilai AS$50,000 (RM209,000) bagi setiap kategori lelaki dan wanita.

"Saya berharap salah seorang pemain kami dapat melangkah ke pentas final dan muncul juara," kata Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro dalam satu kenyataan.

Pemain yang menduduki ranking ke-12 dunia, Miguel Rodriguez akan menjadi pilihan utama kategori individu lelaki pada edisi kali ini manakala pemain ranking ke-15 dunia yang juga juara bertahan Individu Asia, Saurav Ghosal dari India diletakkan selaku pilihan kedua.

Juara dunia remaja 2016, Ng Eain Yow pula menjadi sandaran terbaik negara apabila pemain ranking ke-18 dunia itu diletakkan selaku pilihan ketiga.

Eain Yow pastinya mahu memenangi Terbuka Malaysia buat kali kedua selepas melakukannya pada tahun 2019.

Manakala dalam kategori individu wanita, Rachel Arnold yang juga juara edisi 2019 akan menjadi sandaran terbaik negara.

Beberapa nama besar lain seperti pemain nombor lapan dunia, Salma Hany dari Mesir yang diletakkan selaku pilihan utama dan rakan senegaranya iaitu pemain ranking ke-14 dunia, Nadine Shahin, turut beraksi pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:36 PM