COSTA tak puas hati dengan keputusan  pengadil ketika Atletico menentang Barcelona di Camp Nou.  - FOTO AFP
COSTA tak puas hati dengan keputusan pengadil ketika Atletico menentang Barcelona di Camp Nou. - FOTO AFP
AFP

ATLETICO Madrid sedia merayu hukuman gantung lapan perlawanan ke atas Diego Costa oleh Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), hari ini.

Costa diperintah keluar padang kerana mencaci pengadil Gil Manzano ketika Atletico tewas 0-2 kepada Barcelona pada Sabtu lalu. Manzano turut mendakwa Costa menyentuh bahunya ketika insiden itu.

Hukuman panjang itu bermakna Costa terpaksa melupakan terus baki aksi La Liga musim ini selain Atletico turut tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan Copa del Rey.

Presiden Atletico, Enrique Cerezo memberi bayangan akan merayu terhadap keputusan itu.

"Ia berita buruk,” kata Cerezo. "Apa yang kami boleh lakukan ialah merayu, mengharapkan pengurangan dan tunggu keputusan berikutnya.

"Memang ada pemain yang mudah melenting. Mencaci tak sepatutnya berlaku di atas padang tetapi malangnya tetap berlaku.”

Menurut laporan Manzano, Costa mencaci ibunya sebelum pemain itu cuba menahannya daripada melayangkan kad kepada pemain berjersi nombor 24 dan 2.

RFEF menggantung Costa empat perlawanan selepas mencaci pengadil secara berdepan dan empat perlawanan lagi kerana kekasaran ke atas pengadil.

Costa berdepan musim sukar dengan hanya menjaringkan lima gol dalam semua kejohanan dan terlepas aksi dua bulan pada awal tahun ini akibat kecederaan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 11:22 PM