SAFARIZAL  (enam dari kiri) bersama sebahagian  penyokong sebelum bertolak ke  Stadium Nasional Bukit Jalil.  - FOTO  Izzali Ismail
SAFARIZAL (enam dari kiri) bersama sebahagian penyokong sebelum bertolak ke Stadium Nasional Bukit Jalil. - FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


HAMPIR 50 bas membawa lebih 2,000 penyokong pasukan Kedah untuk menyaksikan final Piala FA menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berlepas dari Stadium Darul Aman malam tadi.

Menurut jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd Safarizal Mohd Sobri, jadual bertolak pada sebelah malam dirancang bagi mengelak kesesakan lebuh raya pada sebelah siang apabila penyokong kedua-dua pasukan menggunakan laluan sama.

"Memang kami merancang bertolak awal seperti kata orang Kedah 'Awai tak kalut'. "Perjalanan memakan masa lebih kurang 7 hingga 8 jam dan dengan jadual bertolak sebelah malam dapat mengelak kesesakan untuk makan dan berhenti rehat sepanjang lebuh raya ke Lembah Klang."

"Biar kami rasa tenang dan cukup masa apabila sampai di Kuala Lumpur terutama di sebelah tengahari sebelum bertolak ke Stadium Nasional Bukit Jalil di sebelah petang.”

Safarizal yang juga Presiden Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) berkata pihaknya mendapat permintaan yang tinggi daripada ahli kelabnya yang mahu menyertai rombongan atas dasar semangat berterusan menyokong Kedah.

"Ahli kelab penyokong juga turut teruja tidak mahu melepaskan peluang menyertai rombongan ini tambahan pula mahu merasai aura Stadium Nasional Bukit Jalil."

"Kami berharap dapat menyaksikan perlawanan hebat antara kedua dua pasukan dan pastinya harapan dan impian kami mahu melihat Kedah menjulang dan membawa pulang Piala FA ke bumi Darul Aman musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 12:32 AM