Aidil (kiri) harap sokongan akan beri impak berdepan JDT. FOTO NSTP
Aidil (kiri) harap sokongan akan beri impak berdepan JDT. FOTO NSTP
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak yakin aura penyokong Kedah sebagai 'pemain ke-12' dapat melonjakkan semangat juang tinggi pemainnya bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Ditemui ketika penyerahan bendera oleh Kelab Penyokong Kedah sempena kempen 'Satu bendera satu penyokong' di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) semalam, Aidil berkata sokongan hebat dalam kalangan penyokong akan memberi impak kepada pemainnya yang membuat persiapan bertemu pendahulu liga itu.

"Saya kagum melihat kelab penyokong Kedah bersungguh-sungguh dan berharap ianya strategi terbaik memburu kejayaan."

"Pemain kini kelihatan bersemangat menanti perlawanan menentang JDT ini dan kita boleh lihat mereka berada pada suasana 'mood' terbaik dan inilah kita perlu teruskan."

"Kita jangkakan ia pertembungan hebat dan bukan buat Kedah kerana mana-mana pasukan hadir ke Darul Aman pasti memberi tentangan lebih hebat."

"Kami anggap semua perlawanan seperti final dan kita tahu JDT pilihan berdasarkan reputasi dan kedudukan terkini dan Kedah 'underdog' walaupun beraksi dilaman sendiri."

Aidil berharap pemainnya memanfaatkan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri.

"Kita tidak akan memberi laluan mudah untuk mereka dan mana-mana pasukan di gelanggang sendiri.

“Pastinya saya mahu pemain fokus dan beraksi sebagai satu pasukan untuk memburu kemenangan."

"Semua perlawanan adalah penting untuk pasukan kerana liga meliputi perlawanan yang panjang dan apa yang perlu kita persiapkan adalah tahap konsisten pasukan kita dimana kita tidak mahu menang satu perlawanan tapi kalah pad perlawanan yang lain.

"Aidil bagaimanapun lega kerana semua pemain utamanya bebas dari sebarang kecederaan, cuma Azamuddin Akil (Alex) dan Syawal Nordin yang masih belum pulih sepenuhnya untuk beraksi.

"Saya berharap Alex akan dapat bersama pasukan satu atau dua bulan lagi bagi memperkuatkan pasukan sementara pemain-pemain lain pada masa ini berada dalam keadaan bebas kecederaan.

"Cuma pemain pertahanan import Renan Alves sahaja yang masih menunggu keputusan beraksi dan saya berharap kita dapat menggunakan pemain terbaik dalam pelawanan bertemu JDT kali ini." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 5:07 PM