Izzali Ismail


KELAB-kelab Penyokong Bolasepak Kedah atau G32 menyeru penyokong Kedah memenuhi Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi menjayakan kempen 'satu penyokong satu bendera' pada perlawanan Liga Super Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat ini.

Kempen mengibarkan bendera warna hijau kuning itu bukan sahaja bakal menyuntik semangat untuk pemain Kedah dalam usaha memburu kemenangan di laman sendiri namun dapat menaikkan semangat puluhan ribu penyokong di stadium itu pada hari perlawanan.

Menurut wakil kepada jurucakap Kelab-Kelab Penyokong Bolasepak Kedah G32, Azmi Abdullah, rancangan mengadakan kempen bersama pasukan, hari ini adalah sebagai tanda kesetiaan dan tanggungjawab pemain ke-12 memberi motivasi terhadap Kedah yang akan turun berdepan pendahulu liga iaitu JDT.

"Perancangan kita lakukan dimulakan dengan acara simbolik iaitu penyerahan bendera kepada ketua jurulatih Kedah dan semua pemain Kedah selepas mereka mengadakan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH).

Bagi tidak memiliki bendera sendiri pada hari perlawanan, jualan bendera hijau kuning dengan potongan harga menarik akan diadakan di gerai berdekatan kaunter tiket bagi memudahkan penyokong mendapatkannya.

"Kami mahu semua penyokong Kedah bersama-sama menjayakan perancangan diatur dalam menghidupkan suasana stadium dengan kibaran bendera hijau kuning pada hari perlawanan,” katanya.

Azmi memberitahu ia adalah inisiatif serta usaha kelab penyokong mahu menghidupkan suasana hijau kuning dalam stadium.

"Selain menunjukkan kesetiaan kepada pasukan Kedah kami mahu 'mewarnakan' Stadium Darul Aman dengan warna hijau kuning apabila bendera itu dikibarkan pada perlawanan."

Selain bendera, penyokong diseru memakai baju warna hijau kuning.

Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak turut berbangga dengan usaha dilakukan Kelab Penyokong Kedah.

"Sokongan serta kempen 'satu penyokong satu bendera' sungguh bermakna buat kami bakal menentang JDT." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 8:48 PM