ISNER bertemu Mannarino pada suku akhir Terbuka Delray Beach. — FOTO Agensi
ISNER bertemu Mannarino pada suku akhir Terbuka Delray Beach. — FOTO Agensi
AFP

PILIHAN kedua John Isner menempah tiket ke suku akhir kejohanan Terbuka Delray Beach ATP hari ini dengan kemenangan 6-4, 6-3 ke atas pemain Slovakia, Lukas Lacko.

Isner melakukan 18 servis ace, menyelamatkan dua mata ‘break’ yang dihadapinya dan mematah servis Lacko tiga kali dalam laluan kemenangan keempat selepas empat pertemuan karier dengan Lacko.

“Kemenangan yang bagus,” kata Isner. “Saya fikir makin selesa dengan permukaan gelanggang ini, terutama dengan posisi ketika membalas pukulan... saya mencabarnya dengan banyak pukulan balas. Saya amat gembira bagaimana saya melepasi halangan ini.”

Isner berdepan pilihan kelapan Adrian Mannarino dari Perancis yang menewaskan pemain Uzbekistan, Denis Istomin 6-2, 7-6 (7/3).

Pemain Britain dari pusingan kelayakan Daniel Evans, yang menyingkirkan juara bertahan Frances Tiafoe pada pusingan pertama, layak ke suku akhir kejohanan jelajah kali ketiga selepas menang 6-0, 6-2 ke atas pemain Afrika Selatan, Lloyd Harris.

Evans akan menentang pilihan keenam Andreas Seppi seterusnya selepas pemain dari Itali itu menundukkan Jordan Thompson dari Australia 6-3, 4-6, 6-1.

Pilihan utama Juan Martin del Potro akan memburu tiket suku akhir menentang pemain Amerika Syarikat, Reilly Opelka, awal pagi esok.

Del Potro dari Argentina menang aksi pertamanya tahun ini apabila menewaskan pemain Jepun, Yoshihito Nishioka pada pusingan pertama. Dia kembali daripada kecederaan lutut kanan yang menyekatnya daripada beraksi pada Terbuka Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 1:02 PM