PEMAIN Perak meraikan jaringan Brendan Gan (dua dari kiri) dalam perlawanan Liga Super menentang Kedah yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Perak, Ipoh, malam ini. FOTO Effendy Rashid.
PEMAIN Perak meraikan jaringan Brendan Gan (dua dari kiri) dalam perlawanan Liga Super menentang Kedah yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Perak, Ipoh, malam ini. FOTO Effendy Rashid.
Muhammad Apendy Issahak


SOKONGAN padu 27,000 penonton di Stadium Perak, Ipoh gagal dimanfaatkan skuad Perak dalam meraih mata penuh apabila hanya seri 1-1 dengan Kedah dalam aksi Liga Super, malam ini.

Menambah ‘drama’ dalam perlawanan itu, pengadil utama Hamdan Awang pula mengalami kecederaan menyebabkan perlawanan tertangguh selama hampir setengah jam.

Walaupun berjaya mendahului pada minit ke-18 melalui jaringan cantik Brendan Gan yang merembat kencang dari luar kotak penalti, kelebihan itu dipadamkan dua minit kemudian oleh pasukan pelawat.

Kedah di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Renan Da Silva pada minit ke-20.

Anak buah jurulatih Mehmet Durakovic bermula garang dengan asakan seawal minit pertama melalui percubaan Firdaus Saiyadi yang sedikit tersasar di sisi gawang Kedah.

Pasukan tuan rumah memperoleh beberapa peluang pada babak pertama, namun gagal disempurnakan dan keputusan seri 1-1 kekal hingga berakhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad The Bos Gaurus terus mengasak kubu Helang Merah namun masih buntu menambah jaringan.

Rentak perlawanan bagaimanapun terjejas dengan kecederaan Hamdan pada minit ke-60 menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan sementara.

Perlawanan kemudiannya bersambung pada minit ke-88 dengan pembantu pengadil pertama, Shahreen Omar menggalas tugas pengadilan menggantikan Hamdan yang mengalami kecederaan hamstring.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal menambah jaringan hingga tamat perlawanan yang berkesudahan 1-1 dan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Selepas dua perlawanan termasuk Piala Sumbangsih yang menyaksikan Perak tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), The Bos Gaurus hanya mengutip satu mata, manakala Kedah kini mengumpul empat mata selepas menumpaskan PKNP FC 2-0 pada perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:51 PM