SAINGAN Liga Super antara Perak menentang Kedah tergendala akibat pengadil utama Hamdan Awang (kanan) alami kecederaan. FOTO Effendy Rashid
SAINGAN Liga Super antara Perak menentang Kedah tergendala akibat pengadil utama Hamdan Awang (kanan) alami kecederaan. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak


IPOH: Kerancakan aksi Perak dan Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi, sedikit terganggu susulan permainan terpaksa dihentikan lebih 20 minit akibat kecederaan pengadil utama, Hamdan Awang.

Dalam perlawanan itu, Hamdan dikatakan mengalami kecederaan hamstring pada minit ke-60 menyebabkan perlawanan tertangguh selama hampir setengah jam.

Perlawanan kemudiannya bersambung pada minit ke-88 dengan pembantu pengadil pertama, Shahreen Omar menggalas tugas pengadilan menggantikan Hamdan.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun berpuas hati berkongsi satu mata selepas seri 1-1 hasil jaringan di babak pertama perlawanan melalui Brendan Gan pada minit ke-18 untuk tuan rumah disusuli Renan Da Silva dua minit kemudian.

Namun sudah pastilah topik perbincangan kini beralih arah kepada insiden yang jarang berlaku dalam arena bola sepak tempatan.

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic sendiri mengakui pengalaman pertama dalam kariernya berdepan perkara sedemikian namun enggan memanjangkan isu itu.

“Secara jujurnya ia adalah perlawanan yang hebat untuk ditonton dimana kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang baik dan rancak sepanjang 90 minit permainan dengan masing-masing bersemangat mencari kemenangan,” katanya.

Lain pula halnya dengan Brendan, yang nyata agak kecewa apabila permainan yang ditangguhkan menjejaskan momentum perlawanan.

“Agak kecewa juga permainan terhenti agak lama, tetapi itu yang berlaku dan tidak boleh merungut mengenainya,” kata Brendan.

“Bagaimanapun ia bukan sesuatu yang bagus buat pemain bila terpaksa berhenti bermain selama kira-kira 20 minit dan memulakan permainan semula namun ia berlaku dan kami perlu hadapinya,” katanya.

Sementara itu jurulatih skuad Helang Merah, Aidil Sharin Sahak, turut berpuas hati dengan keputusan itu meskipun insiden membabitkan pengadil itu mendapat perhatian serius pengendali dari Singapura itu.

Beliau tidak menghalang mengenai kemasukan pengadil keempat dan hanya menyuarakan mengenai peraturan.

“Ini pertama kali berlaku, dimana pengadil keempat perlawanan adalah dari tuan rumah dan saya tidak pernah lihat perlawanan lain berlaku perkara ini, mungkin sebab saya baharu di sini (Liga Malaysia) jadi saya tidak pasti, tetapi bagi saya kita perlu sentiasa bersedia untuk perkara luar jangkaan.

“Kita tidak boleh jangka pengadil akan dalam keadaan sempurna sepanjang 90 minit perlawanan dan perlu persediaan untuk menangani perkara ini agar tidak menjejaskan perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 6:23 PM