Pogba tandatangani kontrak baru di Old Trafford. FOTO AFP
Pogba tandatangani kontrak baru di Old Trafford. FOTO AFP
Daily Mail

PAUL Pogba sedia terus bersama Manchester United dengan menandatangani kontrak jangka panjang bernilai lebih £290,000 (RM1.5 juta) seminggu.

Pemain Perancis itu menolak tawaran itu musim lalu selepas bertelagah dengan Jose Mourinho hingga menyebabkan dia mahu menyertai Barcelona.

Bagaimanapun, dia kini mahu terus berada di Old Trafford selepas pengendali Portugal itu dipecat dan digantikan oleh Ole Gunnar Solskjaer.

Menurut akhbar The Sun, Pogba mahu duduk semeja dengan ketua United dan bersetuju dengan syarat baru biarpun masih mempunyai kontrak berbaki selama dua setengah tahun.

Pogba, 25, mempamer prestasi cemerlang sejak skuad itu diambil alih oleh Solskjaer secara sementara. Dia menjaringkan lima gol untuk membantu bekas penyerang United itu meraih tujuh kemenangan berturut-turut.

Pogba menjadi lebih kecewa dengan kehidupan di kelab itu selepas beberapa kali berbalah dengan Mourinho.

Malah, lilitan penolong kapten Pogba turut dilucutkan oleh bekas pengurus Chelsea itu pada September tahun lalu.

Pemecatan Mourinho pada Disember lalu membuatkan Pogba berubah fikiran dan kini melihat masa depan lebih cerah di United.

Ia bermakna Pogba akan meraih pendapatan sebanyak £1.1 juta pound (RM6.1j) sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 7:37 PM