PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara terus mendapat layanan sama rata dalam persiapan mengharungi kempen Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila bakal mendapat pendedahan aksi di Eropah sama seperti skuad lelaki.

Bagaimanapun, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perkara itu masih dalam penelitian akhir Majlis Sukan Negara (MSN) dan jawapannya hanya akan diputuskan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Untuk wanita mereka akan menghadapi kempen Final Siri Hoki di Dublin pada Jun nanti yang mana kami (MHC) sudah tetapkan sasaran layak ke pusingan kedua.

"Jadi dalam memastikan sasaran itu tercapai kami sudah mencadangkan kepada MSN untuk menghantar pasukan beraksi di Eropah sebelum kejohanan bermula.

"Tetapi MSN akan meneliti cadangan itu terlebih dulu, Insya-Allah keputusan itu akan diputuskan dalam tempoh dua minggu," katanya.

Subahan berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) MSN - MHC di Bukit Jalil hari ini.

Langkah itu sebagai memanfaatkan baki tempoh latihan tiga bulan yang dimiliki skuad Malaysian Tigress, tatkala barisan pemain hanya akan kembali melaporkan diri pada Mac nanti sejurus berakhir saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2019.

Dikhabarkan, Itali mungkin menjadi pilihan destinasi skuad negara sebelum ke Dublin.

Selain merancang persiapan di Eropah, skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah itu dijangka menimba pendedahan beraksi dalam Kejohanan Jemputan Empat Negara yang diadakan di ibu negara membabitkan India, China dan Jepun.

Sementara itu, Subahan mengesahkan pihaknya juga sudah mengarahkan pemain melaporkan diri seminggu tiga kali untuk kem latihan hoki lelaki negara sepanjang berlangsungnya saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019.

"Kita sudah bentangkan perancangan kepada MSN untuk pemain meneruskan latihan kem latihan negara walaupun terikat dengan komitmen kelab masing-masing.

"Latihan itu akan dipantau ketua jurulatih Roelant Oltmans dan pada masa sama kita juga akan melihat pemain lain yang boleh diserap ke dalam skuad negara," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 7:18 PM