Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persoalan siapakah jurulatih skuad hoki baru negara hanya akan terjawab selepas Majlis Sukan Negara (MSN) bertemu Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang baru Datuk Seri Subahan Kamal dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya perlu meneliti segala perkara dan mendengar sendiri cadangan Subahan.

“Pertama sekali tahniah kepada barisan kepimpinan MHC yang baru dilantik. Malah sebahagian daripada barisan dipilih sudah terbabit dengan blue print dalam sukan hoki.

“Saya akan jumpa dan berbincang dengan mereka dulu secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Akademi Sports Affairs semalam.

Pelantikan ketua jurulatih tetap yang baru tertangguh sejak Muhammad Dhaarma Raj direhatkan selepas berakhir Sukan Komanwel tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, ketua jurulatih skuad Projek 2016 Arul Selvaraj diberi tanggungjawab membimbing skuad negara hanya untuk saingan Sukan Asia sebelum status jurulatih sementara diberikan kepada Tai Beng Hai sehingga kini.

Neil Hawgood yang disebut-sebut sebagai calon utama ketua jurulatih tetap negara hanya diberi tanggungjawab selaku perunding skuad negara selepas Ahmad Shapawi mengadakan perbincangan dengan kepimpinan MHC sebelum Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura, Januari lalu.

Ahmad Shapawi berkata, ketika itu segala keputusan muktamad untuk perlantikan ketua jurulatih baru hanya akan diputuskan selepas berakhir AGM MHC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:15 AM