HANIS (kiri) terima tawaran beraksi dalam saingan liga utama Jerman. FOTO/HANIS IG
HANIS (kiri) terima tawaran beraksi dalam saingan liga utama Jerman. FOTO/HANIS IG
Naqib Nor Said


IMPIAN untuk melihat tujuh tonggak skuad hoki wanita negara mencipta nama di bumi Eropah akhirnya menjadi kenyataan selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memberi lampu hijau kepada mereka menimba pengalaman kali pertama beraksi di liga luar negara.

Semalam, ketujuh-tujuh pemain Malaysian Tigress itu yang dalam persiapan ke Sukan Asia menerima surat Non-Objection Certificate (NOC) ataupun Sijil Tiada Bantahan dari majikan mereka itu selepas terpaksa menangguhkan semua proses berkenaan selama sebulan.

Paling beruntung sudah tentu Pemain Harapan Terbaik Asia 2017, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaeizah Md Saiuti apabila mendapat tawaran beraksi dalam saingan liga utama Jerman bersama pendatang baharu Zeh­lendorfer Wespen.

Pakar flick negara, Nuraini Abdul Rashid dan Fatin Shafika Mahd Sukri pula akan terbang ke Itali menyertai kelab Divisyen Satu Liga Itali, Butterfly Roma manakala Raja Norsharina Raja Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda Said akan menyarung jersi Kelab Hoki Uddingston di Glasgow, Scotland.

Menurut bekas pemain kebangsaan, S Selvaraju yang menjadi ejen bertanggungjawab menjual resume pemain, kelewatan itu berpunca daripada sikap tegas serta teliti MHC dalam memastikan kelab dari Jerman, Itali dan Scotland itu mengemukakan dokumen tawaran yang terperinci.

"Pemain semua sudah mengetahui yang NOC mereka sudah diluluskan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dan mereka akan bertolak ke Eropah selepas Sukan Asia bulan depan.

"Di sana nanti saya akan cuba memantau perkembangan mereka, malah hari ini saya sudah mula menghubungi kedutaan Malaysia di Itali serta Jerman untuk meminta mereka membantu pemain menyesuaikan diri di tempat baharu.

"Saya yakin bukan saja mereka akan belajar berdikari malah ketujuh-tujuh pemain itu juga berpeluang menimba ilmu dari segi kejurulatihan dan pengadilan kerana di Eropah pada waktu yang lapang mereka menggalakkan pemain untuk membantu mengadili perlawanan ataupun menjadi jurulatih pasukan kanak-kanak.

"Apapun, saya ingin berterima kasih kepada majikan saya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kerana memberi pelepasan selama ini kepada saya beraksi di Eropah kerana akhirnya kini saya berjaya membina rangkaian dalam membawa pemain Malaysia ke sana," katanya.

Bagaimanapun, mereka hanya akan menyertai kelab masing-masing selepas tamat Sukan Asia 2018 di Jakarta - Palembang, bulan depan untuk tempoh tidak sampai dua bulan sebelum perlu kembali melaporkan diri bagi kem latihan negara.

Kali terakhir menyaksikan pemain wanita Malaysia mendapat tempat di hati kelab Eropah adalah enam tahun lalu dengan Fazilla Sylvester Silin dan kapten negara ketika ini Siti Noor Amarina Ruhani berjaya menjulang Kelab Hoki Castelldefels kembali ke saingan utama Liga Hoki Sepanyol.

Malah, Fazilla yang masih beraksi sebagai pemain tengah negara dan kini sudahpun berusia 32 tahun turut muncul penjaring terbanyak pasukan Sepanyol itu dengan meledak 25 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 4:58 PM