HAMILTON akan menggunakan helmet istimewa pada perlumbaan terakhir musim ini. FOTO/AGENSI
HAMILTON akan menggunakan helmet istimewa pada perlumbaan terakhir musim ini. FOTO/AGENSI
Agensi

ABU DHABI: Lewis Hamilton akan memakai helmet istimewa berwarna emas untuk perlumbaan terakhir Formula 1 di Abu Dhabi yang menyaksikan dia ditabalkan sebagai juara.

Hamilton akan menjulang trofi itu buat kali kelima pada petang Ahad ini dan dia mahu melakukannya dengan penuh bergaya.

Fesyen menjadi antara perkara yang digilakan jaguh Britain itu apabila di luar trek dan dia akan membawa minat berkenaan ke Litar Yas Marina.

Helmet emas itu akan dihiasi logo penaja seperti biasa dan terdapat perkataan ‘Ham’ di belakang, namun dari segi pemilihan warna ia bertemakan glamor d isamping lima bintang sebagai tanda lima kali juara dunia.

Banyak yang hendak diraikan Hamilton dalam satu lagi penamat musim yang menakjubkan, yang mana menyaksikan dia menyamai rekod Michael Fangio memenangi lima gelaran F1.

Kini hanya tinggal Michael Schumacher muncul satu-satunya pelumba yang menjulang lebih banyak trofi – tujuh kemenangan  berbanding Hamilton yang baharu berusia 33 tahun dan masih berpeluang mengatasi pencapaian legenda Jerman terbabit.

Dia terus bersemangat untuk meningkatkan prestasi pada kempen 2019 yang dijangka menyaksikan perebutan gelaran menjadi sengit antaranya dan Sebastian Vettel daripada Ferrari.

Hamilton menjarakkan diri sejak pertengahan musim ini dan mengesahkan kemenangan gelaran di Mexico ketika berbaki dua perlumbaan.

“Saya mahu mencuba dan memikirkan bagaimana untuk menjadikan babak pertama musim kami menjadi lebih kuat,” katanya kepada kakitangan pasukan di ibu pejabat Mercedes minggu lalu.

“Bagaimana untuk memastikan kami bermula dengan lebih jitu, dan menamatkan saingan dalam keadaan terbaik?

“Tolong cuba dan fikir bagaimana anda boleh terus menjadi lebih baik sebagai individu dan secara bersama. Kerana itu apa yang difikirkan saya, bagaimana saya boleh mencapai sesuatu buat anda pada musim depan.

“Jadi, apabila mereka lebih bertenaga dan kuat, kita perlu pastikan yang kita sentiasa di depan pencabar lain.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 10:51 AM