FORTUNATO (kanan) terima nasib sama seperti tiga rakan sepasukan yang telah digugurkan FELDA United. -Foto fail
FORTUNATO (kanan) terima nasib sama seperti tiga rakan sepasukan yang telah digugurkan FELDA United. -Foto fail
Asrol Awang


KUANTAN: Empat pemain import FELDA United FC musim ini tidak lagi bersama kelab itu selepas tidak disambung kontrak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.

Mereka adalah Gilberto Fortunato, Thiago Agusto, Thiago Aquino dan Ramsay.

Pengurus kelab, Mohd Nasir Embong ketika mengesahkan perkara itu menegaskan, skuad The Fighters akan mendapatkan pemain import baharu untuk memperkasakan FELDA United.

“Kami membuat keputusan itu berdasarkan perubahan yang dilakukan pengurusan.

“Musim 2019 juga bakal menampilkan sebahagian besar muka baharu termasuk barisan pemain muda yang diberi tanggungjawab untuk bersaing dengan pemain lebih berpengalaman.

“Kita harap pemain baharu ini dapat menimba pengalaman dalam usaha mematangkan mereka apabila beraksi dalam saingan Liga M, khususnya Liga Super,” katanya.

Bagi musim 2019, semalam, pengurusan FELDA United mengumumkan Mohd Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih baharu kelab itu bagi menggantikan B Sathianathan yang membuat keputusan meninggalkan pasukan.

Musim ini, Mohd Nidzam bertindak sebagai penolong jurulatih kelab itu dan membantu FELDA United muncul juara Liga Perdana, sekali gus layak beraksi di Liga Super musim 2019.

Pengalaman yang dimiliki Nidzam sebagai jurulatih SPA FC dan AirAsia FC serta pernah menyarung jersi Selangor, PKNS FC dan Negeri Sembilan diyakini meneruskan perjuangan FELDA United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 2:05 PM