VELEZ beraksi bersama Negeri Sembilan pada musim 2018.  FOTO Agensi
VELEZ beraksi bersama Negeri Sembilan pada musim 2018. FOTO Agensi
Asrol Awang


FELDA United FC mengesahkan dua pemain import baharu akan memperkasakan kelab itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mereka adalah Nicholas Velez dari Argentina dan Nikola Raspopovic dari Serbia, masing-masing bermain di posisi serangan dan pertahanan.

Kehadiran dua pemain itu menjadikan The Fighters kini memiliki tiga pemain import setakat ini termasuk penyerang dari Singapura, Khairul Amri Kamal.

Menurut laman rasmi Facebook Felda United FC, Velez pernah menyarung jersi pasukan Negeri Sembilan pada musim 2018 sebelum bermain dengan kelab Belenenses SAD di Liga NOS, Portugal musim ini.

"Raspopovic pula bekas pertahanan FK Dukla Prague yang berpengkalan di Republic Czech musim ini. Dengan kehadiran dua pemain import ini, Felda United mengucapkan selamat datang dan semoga maju jaya bersama kelab ini musim depan," katanya menerusi Facebook Felda United FC.

Musim ini, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil mempertaruhkan lima import tetapi hanya Khairul Amril kekal manakala empat lagi tidak dilanjutkan kontrak.

Empat pemain import terbabit ialah Kei Ikeda dan Masaki Watanabe dari Jepun serta Thiago Aquino dan Jocinei Schad dari Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 5:35 PM