NIDZAM ikat kontrak sehingga 2021.
NIDZAM ikat kontrak sehingga 2021.
Asrol Awang


MOHD Nidzam Jamil yang memastikan Felda United FC terus beraksi dalam saingan Liga Super musim depan kekal mengendalikan kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020.

Pencapaian terbaik bekas pemain kebangsaan itu membawa The Fighters layak ke separuh akhir Piala FA turut mendorong kelab itu menawarkan kontrak lanjutan selama dua musim lagi iaitu 2020 dan 2021.

Ia disahkan Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman yang percaya Nidzam mampu melonjakkan The Fighters pada tahap lebih baik bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Kami memutuskan menawarkan kontrak dua musim iaitu 2020 dan 2021 kepada Nidzam kerana yakin dengan kemampuannya dalam menggilap pemain muda.

"Ia sudah dibuktikan dalam saingan Liga M musim ini apabila ramai pemain muda dalam kalangan anak Felda beraksi baik dalam membantu pasukan.

"Musim ini kami mempertaruhkan 35 peratus pemain anak Felda dan peratusan itu dijangka bertambah sehingga 60 peratus atau 15 pemain musim depan," katanya.

Justeru, Afizal berkata, Mohd Nidzam yang sudah bersama Felda United selama tiga musim termasuk selaku penolong jurulatih pada 2017 dan 2018 diharap meraih keputusan membanggakan.

Katanya, ini kerana The Fighters sudah membuktikan bahawa tanpa pemain `ternama', kelab itu kekal dalam saingan Liga Super musim 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 5:54 PM