SALAH (kiri) yang dimasukkan pada separuh masa kedua gagal memberi impak buat pasukan Liverpool. FOTO AFP
SALAH (kiri) yang dimasukkan pada separuh masa kedua gagal memberi impak buat pasukan Liverpool. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Rekod Liverpool 68 perlawanan tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield berakhir selepas sepakan penalti, Ashley Barnes di hujung permainan membolehkan Burnley mencatat kemenangan 1-0 awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp sekarang ini gagal untuk mencatat kemenangan dalam lima aksi liga berturut-turut sekali gus menyaksikan peluang mempertahankan kejuaraan liga semakin sukar selepas mereka ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Manchester United dan berada di tangga keempat.

Burnley memulakan saingan dengan berada di atas zon penyingkiran namun mereka tidak melepaskan peluang untuk mencatat kemenangan apabila Barnes dijatuhkan Alisson Becker tujuh minit sebelum perlawanan tamat dan selepas itu dia tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Brazil itu melalui sepakan penalti.

Liverpool tidak pernah kalah dalam saingan liga di Anfield sejak April 2017.

Sejak dari itu The Reds berjaya menamatkan penantian 30 tahun dengan memenangi kejuaraan liga namun peluang untuk mereka mengulangi kejayaan berkenaan semakin pudar disebabkan penurunan prestasi sejak kebelakangan ini.

Selain dihantui masalah kecederaan di bahagian pertahanan, mereka juga agak tumpul di jentera serangan apabila gagal menjaringkan gol dalam aksi liga empat kali berturut-turut.

Klopp membuat perubahan di bahagian serangan dengan meletakkan penjaring terbanyak, Mohamed Salah dan Roberton Firmino di bangku simpanan.

Bagaimanapun, Divock Origi gagal menggunakan peluang selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama apabila pemain antarabangsa Belgium itu terlepas peluang menjaringkan gol pada pertengahan babak pertama dengan percubaannya tersasar walaupun hanya berdepan penjaga gol, Nick Pope.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 7:53 AM