HAJIME MORIYASU
HAJIME MORIYASU
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

CIKARANG: Bukan tugas mudah namun tidak mustahil bagi skuad negara yang bakal menentang skuad bawah 21 (B-21) tahun Jepun yang dipersiapkan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Jepun kendalian jurulatih Olimpik, Hajime Moriyasu sedang giat mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu dalam tempoh dua tahun lagi dengan Sukan Asia 2018 adalah medan pendedahan kepada pemain muda Samurai Biru.

Moriyasu juga adalah pengendali baharu skuad utama Jepun selepas Akira Nishino tidak lagi bersama susulan kegagalan pada kempen Piala Dunia di Russia.

Menurut laporan di laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), mereka menghantar skuad Olimpik Tokyo ke Jakarta-Palembang 2018 dengan pemain kebanyakannya berusia 21 dan 20 tahun.

Namun, ada antaranya sudah beraksi bersama kelab utama J League seperti kapten pasukan, Koji Miyoshi yang beraksi bersama Hokkaido Consadole Sapporo dan Ryo Hatsuse bersama Gamba Osaka.

Ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana lawan sudah membuktikan kemampuan pada peringkat Kumpulan D.

Mereka melakar dua kemenangan apabila menewaskan Pakistan dan Nepal sebelum tewas tipis 0-1 kepada finalis Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 2018, Vietnam dalam perlawanan terakhir kumpulan semalam.

Ini dilihat kekecewaan kepada Jepun kerana Vietnam sebagai juara Kumpulan D berdepan tugas lebih mudah di pusingan kedua apabila berdepan satu daripada empat pasukan di kedudukan ketiga terbaik secara keseluruhan.

“Kami mahu mara ke peringkat kalah mati dengan menewaskan Vietnam, jadi kekalahan kepada Vietnam mengecewakan. Kami perlu belajar daripada perlawanan ini dan memanfaatkannya untuk melangkah jauh dalam aksi kalah mati nanti,” kata Moriyasu.

Malaysia yang muncul juara Kumpulan E dijadual menentang Jepun di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, Jumaat ini bagi perebutan tiket suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 7:23 PM