HARRY KANE
HARRY KANE

LONDON: Harry Kane menamatkan kemarau jaringan dalam bulan Ogos ketika membantu Tottenham Hotspur menewaskan Fulham 3-1 di Wembley untuk melonjak seketika ke puncak Liga Perdana Inggeris.

Bournemouth turut mengutip mata penuh setakat ini daripada dua perlawanan pembukaan apabila skuad kendalian Eddie Howe bangkit meraih kemenangan 2-1 di West Ham.

Spurs kendalian Mauricio Pochettino membuktikan Wembley semakin selesa sebagai laman sendiri apabila Lucas Moura menjaringkan gol Liga Perdana sulungnya untuk meletakkan Spurs di depan (m-43), tetapi Aleksandar Mitrovic kembali menyamakan kedudukan di awal babak kedua.

Dua wira Piala Dunia England - Kieran Tripper memastikan kemenangan buat tuan rumah menerusi sepakan percuma minit ke-74 diikuti jaringan pertama Kane (m-77) dalam bulan pertama musim Liga Perdana selepas 15 kali percubaan.

Di West Ham, penalti Marko Arnautovic meletakkan tuan rumah di depan tetapi dua gol dalam tempoh enam minit oleh Callum Wilson dan Steve Cook memberikan kemenangan kedua buat Bournemouth. - AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 1:22 AM