REAKSI Mourinho selepas tamat perlawanan. - FOTO Reuters
REAKSI Mourinho selepas tamat perlawanan. - FOTO Reuters
Reuters

JOSE Mourinho menghadiahkan kemenangan pertama Tottenham di tempat lawan dalam aksi Liga Perdana sejak Januari lalu apabila menewaskan West Ham 3-2 di Stadium London malam ini dan melonjak ke tangga keenam.

Dua jaringan babak pertama menerusi Son Heung-min dan Lucas Moura dan satu lagi menerusi Harry Kane selepas rehat -- jaringan ke-175nya buat kelab menambah derita West Ham yang tewas kali kelima dalam tujuh perlawanan sekali gus menambah tekanan ke atas pengurus Manuel Pellegrini yang skuadnya menghampiri zon penyingkiran.

Bagaimanapun, Mourinho tidak gembira dengan cara Spurs melepaskan dua gol lewat yang bijak dimanfaatkan pemain gantian Michail Antonio dan Angelo Ogbonna.

Selepas jaringan Kane dibatalkan akibat ofsaid, Son meletakkan pelawat di depan pada minit ke-36 menerusi rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah, Roberto untuk jaringan keenamnya dalam semua kejohanan.

JARINGAN pertama West Ham menerusi Antonio. - Reuters
JARINGAN pertama West Ham menerusi Antonio. - Reuters

Moura menjadikan kedudukan 2-0 apabila mudah menolak bola masuk selepas mendapat hantaran Son dua minit sebelum rehat.

Kane menambah derita tuan rumah menerusi tandukan pada minit ke-49 sekaligus muncul penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman Spurs di belakang, Jimmy Greaves (266) dan Bobby Smith (208).

Ogbonna menjaringkan gol kedua tuan rumah pada masa kecederaan namun sudah terlewat untuk memberi kemenangan berharga buat Mourinho dan Spurs.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 11:07 PM