TAVERNIE meraikan jaringan kemenangan pasukannya.
TAVERNIE meraikan jaringan kemenangan pasukannya.
Reuters

Southampton, England: Jaringan tunggal Marcus Tavernier membantu Bournemouth menewaskan Southampton 1-0 dan menambah tekanan ke atas pengurus sementara Ruben Selles yang skuadnya kekal tercorot dalam carta Liga Perdana Inggeris.

Skuad Gary O'Neil pula memintas West Ham United di tangga ke-14 dengan 36 mata daripada 33 perlawanan, tujuh mata di atas zon penyingkiran.

"Kami kuasai sepenuhnya," kata O'Neil kepada BT Sport. "Tapi agak kecewa kami tidak membunuh terus perlawanan kerana anda tahu Southampton tak berputus asa yang memaksa kami tunjukkan kemampuan kami.

"Apa pun saya sangat bangga dengan pemain dalam aksi intensiti tinggi ini."

Southampton yang hanya menang enam aksi musim ini hanya enam mata di bawah zon selamat dengan berbaki lima perlawanan.

Bournemouth menguasai perlawanan dan kesungguhan mereka berhasil pada minit ke-50 selepas Tavernier memperdayakan pertahanan lawan sebelum meledak rembatan ke penjuru gawang.

"Tiga mata sangat penting kepada kami dan itu yang kamu mahukan dalam aksi seperti ini kerana setiap mata penting sekarang," kata Tavernier.

Bournemouth kini menang tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan yang membantu mereka kekal di zon selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 8:19 AM