Fernandez umum hanya tujuh pasukan akan bertanding. FOTO AIZUDDIN SAAD
Fernandez umum hanya tujuh pasukan akan bertanding. FOTO AIZUDDIN SAAD
Naqib Nor Said

 

KUALA LUMPUR: Hanya tujuh pasukan bakal menghangatkan saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 tatkala Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) turut menolak penyertaan sebuah pasukan dari utara tanah air.

Pengarah Jawatankuasa Pertandingan MHC, Brian Fernandez, ketika mengesahkannya berkata, biarpun gagal mencapai sasaran awal 10 pasukan, soal kualiti pasukan lebih dititikberatkan pihaknya kali ini.

"Memang pada awalnya kita sasarkan penyertaan 10 pasukan tetapi hanya lapan berminat mengambil bahagian dalam saingan Liga Perdana.

"Cuma daripada lapan pasukan itu, satu daripadanya kita terpaksa tolak penyertaan kerana kualiti dimiliki pasukan itu tidak begitu memuaskan.

"Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pertandingan MHC bermesyuarat dan merasakan pasukan yang dibentuk daripada pelajar-pelajar sekolah itu masih belum bersedia selain bagi memastikan taraf liga kita terus kekal unggul," katanya.

Tujuh pasukan berkenaan adalah juara bertahan Pasukan Hoki Terengganu (THT), UniKL, TNB, Maybank, UiTM, Nur Insafi dan TNB Thunderbolts.

Bagaimanapun, ketujuh-tujuh pasukan itu terlebih dulu akan merebut Piala Tan Sri P Alagendra bermula 3 Januari depan sebelum membuka kempen sebenar liga pada 11 Januari hingga 2 Mac depan.

Dalam senarai itu, turut menyaksikan tiada penyertaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Johor Hockey Team (JHT) yang sebelum ini digembar-gemburkan akan melengkapkan senarai 10 pasukan bagi musim depan

Sementara itu, bagi saingan Liga Hoki Wanita Malaysia pula menyaksikan sebanyak enam pasukan mengambil bahagian bermula 10 Januari hingga 16 Februari.

"Untuk wanita kita terpaksa tamatkan lebih awal atas permintaan Pengarah Teknikal MHC (Terry Walsh) kerana mahu memberi ruang kepada pemain wanita kebangsaan kembali beraksi di liga-liga utama Eropah," katanya.

Difahamkan, pemain yang dimaksudkan itu adalah Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti dengan kelab Jerman, Wespen Zehlendorfer berminat untuk mendapatkan semula khidmat mereka bagi pusingan kedua Liga Bundeliga bermula Mac hingga Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 6:10 PM