LUIS SUAREZ -Foto Reuters
LUIS SUAREZ -Foto Reuters
Agensi

MOSCOW: Luis Suarez yakin Uruguay mampu mengawal ancaman pemain remaja sensasi Perancis, Kylian Mbappe apabila kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir Piala Dunia, malam esok.

Uruguay menewaskan lawan dari Eropah sebanyak dua kali di Piala Dunia selain hanya melepaskan satu gol, memberikan keyakinan kepada Suarez bahawa rakan sepasukannya di barisan pertahanan mampu menangani pemain berusia 19 tahun itu.

“Semua tahu dia pemain sangat bagus namun saya fikir kami turut mempunyai pertahanan yang bagus untuk mengawalnya,” kata penyerang Barcelona itu.

Mbappe menyinar ketika Perancis menewaskan Argentina 4-3, meledak dua gol dan mendapatkan sepakan penalti, mempamerkan kepantasan dan kemahiran yang dimilikinya.

Namun Suarez merasakan bukan saja pemain berkenaan menjadi ancaman, turut mendapat perhatiannya adalah Antoine Griezmann dengan menyifatkan pemain berkenaan mempunyai kaki kiri yang hebat.

Mbappe dan Griezmann turut mendapat perhatian pengendali Uruguay, Oscar Tabarez yang menegaskan mereka tidak akan mendapat ruang seperti ketika menentang Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 11:23 AM