TABAREZ (kanan) sudah 15 tahun membimbing Uruguay. FOTO AFP
TABAREZ (kanan) sudah 15 tahun membimbing Uruguay. FOTO AFP
AFP

Montevideo: Jurulatih ikonik Uruguay, Oscar Tabarez dipecat selepas aksi buruk yang menyaksikan peluang negara berkenaan layak ke Piala Dunia secara automatik masih lagi samar.

Tabarez, 74, menikmati status sebagai legenda di Uruguay membimbing negara kecil yang mempunyai penduduk seramai 3.4 juta orang itu ke separuh akhir Piala Dunia 2010 dan menjulang trofi Copa America setahun kemudian.

Bagaimanapun, empat kekalahan berturut-turut meletakkan Uruguay dalam bahaya terlepas peluang untuk beraksi di Piala Dunia tahun depan, selepas mereka pernah muncul juara di kejohanan berkenaan pada 1930 dan 1950.

"Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Uruguay (AUF) memaklumkan keputusan untuk menamatkan kontrak Tabarez dan ahli lain dalam barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan," kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

AUF mengakui ia keputusan yang berat dan tidak menolak sama sekali sumbangan penting Tabarez dalam bola sepak Uruguay.

Uruguay hanya meledak satu gol, melepaskan 11 jaringan, dalam empat aksi terakhir termasuk tumpas kepada Brazil, Bolivia dan dua kali dengan Argentina.

Mereka menduduki tempat ketujuh dalam kumpulan kelayakan Amerika Selatan ke Piala Dunia Qatar, dengan hanya empat kedudukan teratas layak secara automatik.

Brazil dan Argentina sudah melayakkan diri, manakala Ecuador hanya memerlukan dua kemenangan daripada empat aksi terakhir untuk mengiringi dua negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 11:03 AM