YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengurniakan surat cara kepada Syed Saddiq pada Istiadat  Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan istiadat mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta sumpah simpan Rahsia oleh yang berhormat menteri dan timbalan menteri Persekutuan di Balai Rong Seri, Istana Negara. -BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengurniakan surat cara kepada Syed Saddiq pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan dan istiadat mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta sumpah simpan Rahsia oleh yang berhormat menteri dan timbalan menteri Persekutuan di Balai Rong Seri, Istana Negara. -BERNAMA
Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: Selepas dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan ke-18, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mempunyai banyak masa apabila bakal menerima tugasan besar pertama ketika kontinjen negara akan bersaing pada Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

Ahli Parlimen Muar itu yang mengangkat sumpah jawatan hari ini dengan Syed Saddiq, 26, diangkat sebagai menteri termuda dalam sejarah pentadbiran negara ini.

Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pelantikan Syed Saddiq adalah pemilihan tepat dengan ketua kontinjen negara ke Sukan Asia itu berharap pertemuan segera dapat dilakukan menjelang temasya itu yang akan berlangsung tidak lama sahaja lagi.

“Kami berharap mendapat sokongan penuh daripada Menteri memandangkan kita kesuntukan masa apabila Sukan Asia akan berlangsung dalam masa sebulan sahaja lagi.

“Ada beberapa perkara termasuklah soal perbelanjaan yang masih tergendala dan berharap dapat bertemu secepat mungkin memandangkan perkara itu memerlukan kelulusan menteri secepat mungkin,” katanya kepada Sukan NSTP.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pula menyifatkan Syed Saddiq sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan juga ikon generasi muda.

“Saya yakin beliau akan mampu menyuntik semangat baru yang lebih segar terhadap pembangunan sukan negara.

“Kami di MOM akan memberi sokongan padu kepada beliau dan timbalan menteri (Steven Sim Chee Keong) dalam meneruskan usaha kerajaan meningkatkan prestasi sukan negara baik diperingkat elit mahupun komuniti,” katanya.

Norza juga berkata, MOM berhasrat menjalinkan kerjasama erat melonjakkan prestasi sukan negara di peringkat antarabangsa khususnya dalam mencapai hasrat negara membawa pulang emas pertama Sukan Olimpik di Tokyo 2020.

Info: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Tarikh lahir: 6 Disember 1992

Ahli Parlimen: Muar (2018)

Pendidikan: Ijazah Perundangan (Kepujian) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Felow Akademik di Universiti Temple, Amerika Syarikat

Karier:

2013-2016: Pensyarah separuh masa di UIAM

2012-kini: Jurulatih debat antarabangsa (mengajar di 25 negara)

2015-2016: Pegawai kajian, Bait al-Amanha

2016: Pegawai khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri

2017-kini: Pegawai kajian kepada Tun Dr Mahathir Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 2:48 PM