SRAM sokong Azim bertanding kerusi  Timbalan Presiden MOM. FOTO/FAIL
SRAM sokong Azim bertanding kerusi Timbalan Presiden MOM. FOTO/FAIL
Jumiati Rosly

BELUM pun mengumumkan secara rasmi kesediaan untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi sudah pun mendapat sokongan daripada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Presiden SRAM, Huang Ying How selaku ketua kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Gold Coast yang bersama Azim selaku ketua kontinjen negara ke Sukan Asia di Indonesia melihat persiapan atlet di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan hari ini berkata, dia akan memberikan undinya kepada Azim.

“Di SRAM kami mahukan seorang yang berfikiran dinamik dalam memajukan sukan tanahair,” kata Ying How.

Pemilihan ahli jawatankuasa MOM bagi penggal baru dijangka diadakan pada Jun ini dengan presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang sudah memegang jawatan hampir 20 tahun mahu mengundurkan diri pada pemilihan akan datang.

Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pula dijangka bertanding bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Imran.

Azim pula berkata, dia masih belum memutuskan sama ada mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden MOM atau tidak.

“Biarlah saya fikirkan dahulu sama ada mahu atau tidak. Buat masa ini marilah memberi tumpuan dalam persediaan ke Sukan Komanwel dan selepas itu Sukan Asia pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 6:18 PM