PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah.  FOTO Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao
PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao
Sukhairi Thani


HAFIZH Syahrin Abdullah yang menyambut hari lahir ke-24 hari ini akan memulakan perlumbaan Grand Prix Sepanyol dari petak ke-22, esok.

Hafizh yang masih belum pulih sepenuhnya selepas terbabit dalam kemalangan ketika berkayuh basikal Isnin lalu, mencatat 1 minit 39.135 saat pada sesi kelayakan MotoGP, sebentar tadi.

“Pada sesi kelayakan, saya cuba yang terbaik biarpun merasai kesakitan dan agak sukar untuk memperbaiki catatan masa sepusingan tapi saya dapat mengerah sepenuh keringat diperlukan hingga kami dapat merapatkan jurang dengan kelompok depan,” kata Hafizh.

“Jarak saya agak jauh, tapi kami akan lihat apa yang akan berlaku esok. Saya harap mampu mengekalkan kelajuan diperlukan sepanjang 25 pusingan nanti. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku dalam perlumbaan.

“Saya akan cuba sedaya upaya dan berterima kasih kepada pasukan yang sentiasa membantu. Saya juga sedikit kesal kerana badan saya tidak berasa begitu selesa tapi saya akan cuba pulih secepat mungkin untuk perlumbaan nanti.”

Pelumba LCR Honda Castrol, Cal Crutchlow menyambar petak pertama dengan catatan terpantas 1:37.653s manakala Dani Pedrosa kedua 1:37.912s.

Rakan sepasukan Hafizh di Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco akan memulakan saingan dari petak ketiga selepas mencetak masa 1:37.956s.

Berada di barisan kelapan bersama Hafizh esok adalah Karel Abraham (Angel Nieto Team) dan seorang lagi muka baharu dalam kelas perdana, Xavier Simeon (Reale Avintia Racing).

Selepas tiga pusingan bagi musim 2018, Hafizh kini menduduki tangga ke-13 dengan sembilan mata, dibezakan tujuh mata berbanding pelumba tangga ke-12, Alex Rins dari pasukan Team Suzuki Ecstar.

Hafizh bagaimanapun masih berada di tangga teratas dalam carta muka baharu terbaik bagi kelas perdana itu tatkala Franco Morbidelli kedua dengan enam mata dan Takaaki Nakagami dari Jepun ketiga, lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 10:48 PM