FRANCK Ribery (dua dari kiri) cuba mengelak selepas jersinya ditarik seorang penyokong yang menceroboh padang selepas perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Allianz Arena, Munich, 25 April lalu. FOTO EPA-EFE.
FRANCK Ribery (dua dari kiri) cuba mengelak selepas jersinya ditarik seorang penyokong yang menceroboh padang selepas perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Allianz Arena, Munich, 25 April lalu. FOTO EPA-EFE.
AFP

BERLIN: Franck Ribery melaungkan ‘tempikan perang’ sebelum aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Real Madrid awal pagi Rabu apabila Bayern Munich sedar mereka perlu lebih garang di depan gawang jika mahu mencetus kebangkitan.

Bayern perlu bermati-matian di Santiago Bernabeu selepas mensia-siakan banyak peluang ketika tewas 1-2 di Munich minggu lalu.

“Kalah dalam bertarung, namun perang belum berakhir,” tulis pemain Perancis itu di Twitter, memetik kata-kata popular Charles de Gaulle.

“Kami akan merebut segenap peluang di Madrid.”

Ribery, 35, adalah antara beberapa bintang Bayern yang menyerlah ketika kelab itu tewas di Allianz Arena.

Kesilapan pertahanan Bayern Rafinha membolehkan pemain gantian Marco Asensio menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua, sekali gus memberikan kelebihan ketara buat Real.

Selepas Joshua Kimmich memberikan Bayern gol awal, Ribery dua kali cuba meledak gol buat Munich.

Dia gagal pada detik penting itu ketika pertembungan satu lawan satu dengan penjaga gol Real Keylor Navas pada separuh masa pertama sebelum Marcelo menyamakan kedudukan buat  Real.

Ribery mencetus kacau bilau di bahagian sayap kiri, malah turut mendesak Navas menyelamatkan percubaan pada separuh masa kedua.

Pemain sayap itu dan rakan sepasukannya bakal berada di Madrid, berjanji untuk mengubah keputusan perlawanan.

“Kami akan berikan segala-galanya yang kami ada,” kata bek kiri Bayern, David Alaba yang pulih daripada kecederaan paha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 12:30 PM