Munich: Bayern Munich akan bermain tanpa Franck Ribery dan Bastian Schweinsteiger pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang FC Porto awal pagi Khamis, kata pengarah sukan kelab, Matthias Sammer.

Bayern berdepan krisis kecederaan dan hanya menamakan empat pengganti ketika menang 3-0 ke atas Eintracht Frankfurt pada saingan Bundesliga, Sabtu lalu.

Ketika pertahanan kiri David Alaba serta sayap kanan Arjen Robben sudah pasti tidak dapat diturunkan, Bayern berharap menyenaraikan kapten Jerman Schweinsteiger dan Ribery dalam usaha melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali keempat berturut-turut.

Tetapi, Schweinsteiger ternyata tidak dapat disenaraikan akibat demam sejurus selepas pulih daripada kecederaan pergelangan kaki yang dialami ketika menang di Borussia Dortmund, 10 hari lalu.

Ribery turut tidak sempat cergas gara-gara kecederaan pergelangan kaki yang dialami ketika menang 7-1 ke atas Shakhtar Donetsk bulan lalu dan jurulatih Pep Guardiola memutuskan untuk mengenepikan kedua-dua pemain berkenaan.

“Bastian dan Franck tidak boleh bermain. Pep akan memutuskan siapa pemain muda yang akan kami bawa,” kata Sammer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:17 AM