PEMAIN Bayern Munich, Renato Sanches (tengah) meraikan jaringan ketika meledak gol pada aksi menentang Benfica di Stadium Luz. FOTO EPA
PEMAIN Bayern Munich, Renato Sanches (tengah) meraikan jaringan ketika meledak gol pada aksi menentang Benfica di Stadium Luz. FOTO EPA
AFP

LISBON: Renato Sanches mendapat penghormatan penyokong Benfica selepas dia menjaringkan gol menentang kelab lamanya itu, untuk membantu Bayern Munich meraih kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama Liga Juara-Juara.

Sanches yang mengharungi musim sukar beberapa tahun lalu sejak meninggalkan Benfica untuk menyertai Munich ketika berusia 18 tahun, pada musim panas 2016 beraksi cemerlang di Lisbon, dengan menyumbat gol pertama bersama Bayern.

“Saya sangat gembira untuk menikmati malam seperti ini di Lisbon dan saya mahu berterima kasih kepada penyokong Benfica,” kata Sanches kepada Sky. “Ia detik yang sangat istimewa dan saya amat menyukainya.”

Jaringan pada babak kedua pemain muda Portugal itu memberikan permulaan baik buat Niko Kovac yang membuat penampilan pertama di Liga Juara-Juara selaku jurulatih.

Bayern yang bertandang ke Lisbon hanya mengambil masa 10 minit untuk mendahului permainan.

Hantaran lintang Franck Ribery menemui Robert Lewandowski dalam kotak penalti dan penyerang Poland itu kemudian mudah merembat masuk bola ke gawang.

Ribery dan James Rodriguez mensia-siakan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0, sebelum Benfica membuat percubaan terbaik menerusi Eduardo Salvio yang memaksa penjaga gol Manuel Neuer menyelamatkan keadaan.

Pada separuh masa kedua, Sanches mencuri tumpuan apabilan menyudahkan bola hantaran lintang Rodriguez dalam kotak penalti untuk gol kedua Bayern.

Menurut tonggak pertahanan Bayern, Joshua Kimmich, Sanches berjaya membuktikan kemampuannya dalam perlawanan besar itu.

“Ia bukan mudah untuk Sanches sejak menyertai Bayern tetapi malam ini, dia beraksi dengan baik. Saya bangga dengannya,” kata Kimmich.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 10:42 AM