LEWIS Hamilton mengakui dia berada di bawah tahap prestasi sebenar ketika saingan GP China. - Foto AFP
LEWIS Hamilton mengakui dia berada di bawah tahap prestasi sebenar ketika saingan GP China. - Foto AFP

SHANGHAI: Lewis Hamilton mengakui dia tidak berada dalam prestasi terbaik ketika saingan Grand Prix China yang dilabelnya sebagai ‘bencana’.

Pemandu Mercedes itu menambah 12 mata semalam sekali gus memecahkan rekod sebagai pelumba yang berjaya memungut mata sejak 28 perlumbaan yang lalu. 

Rekod lama sebelum ini dipegang Kimi Raikkonen dengan 27 perlumbaan (pada 2012-2013).

“Saya tidak berada dalam prestasi terbaik. Saya tidak mendapat kepantasan yang saya mahukan, jadi saya hanya kekal dengan apa yang saya ada,” kata pemandu Mercedes itu.

“Saya mempunyai tayar lama dan menggunakannya.”

Pemandu Britain itu menamatkan saingan di tempat kelima tetapi naik satu tangga ke tempat keempat selepas penalti 10 saat dikenakan kepada pemandu Red Bull, Max Verstappen susulan pelanggaran dengan Sebastian Vettel.

Kedudukan itu memberikan Hamilton peluang untuk merapatkan jurang sembilan mata dengan Vettel yang sebelum ini mendahului selesa dengan 17 mata, dengan pemandu Ferrari itu menamatkan saingan di tempat kelapan.

“Sudah pasti ia pertarungan sengit pada masa hadapan. Saya boleh katakan buat diri saya tetapi juga pasukan kami, kami berada di bawah tahap prestasi sebenar,” kata Hamilton.

“Semalam dan hari ini adalah bencana di pihak saya, jadi saya perlu cuba dan memperbaikinya serta mengembalikan semula prestasi, atau lebih banyak mata berharga akan hilang.”

Hamilton juga berkata perkara sama dalam perlumbaan sebelum ini di Bahrain, apabila dia menamatkan saingan di tempat ketiga selepas bermula di petak kesembilan dengan menegaskan dia gagal berlumba dengan baik.

Namun, juara bertahan itu datang ke Shanghai dengan rekod yang baik apabila memenangi lima kejuaraan di litar China di samping Mercedes. – Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 6:40 PM